Asia

Lelaki tolak isteri dipenjara 33 tahun, 4 bulan

Oleh Agensi

Bangkok: Mahkamah Tinggi Thailand semalam, menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun dan empat bulan terhadap lelaki yang menolak isterinya, empat tahun lalu.

Lianhe Zaobao melaporkan, tertuduh, Yu, menolak isterinya yang hamil dari tebing di Taman Negara Pha Taem pada Jun 2019.

Isterinya yang berusia dalam lingkungan 30-an dan hamil lima bulan ketika itu, mengalami 17 patah tulang selepas terjatuh dari ketinggian 34 meter.

Mangsa dilaporkan terselamat, namun kandungannya tidak dapat diselamatkan.

Dia ditemukan orang awam sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut laporan berita China Daily, wanita itu yang dikenali sebagai Wang mendakwa, suaminya menanggung hutang selepas berjudi.

Wang mendakwa suaminya cuba membunuhnya untuk mewarisi kekayaan dan asetnya supaya lelaki itu dapat menyelesaikan hutangnya.

Sementara itu, dalam video yang disiarkan di media sosial, Wang berkata, dia berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

Katanya, dia memfailkan perceraian bagi membina hidup baharu.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 1:34pm
d