Asia

Ahli keluarga bantu cari mayat mangsa nahas kereta api

Oleh Reuters

Bahanga, India: Anggota penyelamat dan keluarga giat menelusuri gerabak kereta api yang remuk pada Ahad untuk mencari lebih ramai mangsa nahas kereta api paling teruk di India dalam tempoh lebih dua dekad.

Setakat ini, kegagalan isyarat dipercayai sebagai punca kemungkinan.

Sekurang-kurangnya 288 orang terbunuh pada Jumaat apabila sebuah kereta api penumpang terkeluar dari landasan dan melanggar sebuah lagi kereta api berhampiran daerah Balasore di negeri timur Odisha.

Lima lagi mayat dibawa ke sekolah yang digunakan sebagai bilik mayat berhampiran tempat kejadian.

"Kami tidak tahu berapa banyak lagi mayat akan tiba," kata seorang pekerja kesihatan.

Perdana Menteri Narendra Modi melawat tempat kejadian pada Sabtu untuk bercakap dengan pekerja penyelamat, memeriksa serpihan dan menemui sebahagian daripada hampir 1,200 yang cedera.

South Eastern Railway berkata, laporan awal menunjukkan bahawa kemalangan itu adalah akibat kegagalan isyarat.

Kemalangan itu berlaku apabila salah satu kereta api itu terkeluar dari landasan utama menuju ke landasan tepi dan bertembung dengan kereta api barang yang tidak bergerak, yang menyebabkan kereta api itu tergelincir dan seterusnya berlanggar dengan tren ketiga, menurut seorang pegawai kereta api yang enggan dikenali.

Kereta api penumpang bergerak pada kelajuan hampir 130 km/j, kata pegawai itu.

Pekerja dengan jentera berat sedang membersihkan landasan, kereta api yang rosak dan kabel elektrik, di hadapan warisa mangsa yang hadir di lokasi kejadian.

"Kami dipanggil oleh polis dan diminta untuk datang," kata Baisakhi Dhar dari negeri Bengal Barat, mencari suaminya Nikhil Dhar.

Dia berkata, bagasi dan telefon bimbit suaminya telah ditemui tetapi tidak mempunyai maklumat mengenai keberadaannya.

Lebih 1,000 orang terlibat dalam penyelamatan, kata Kementerian Kereta Api di Twitter.

"Sasarannya ialah menjelang pagi Rabu keseluruhan kerja pemulihan siap dan landasan sepatutnya berfungsi," kata Menteri Kereta Api Ashwini Vaishnaw.

Di pusat perniagaan di mana mayat dibawa untuk pengenalan diri, berpuluh-puluh sanak saudara menunggu, ramai yang menangis dan berpegangan tangan dengan kad pengenalan serta gambar orang tersayang yang hilang.

Kanchan Choudhury, 49, sedang mencari suaminya di pusat itu. Lima orang dari kampungnya menaiki kereta api, di mana empat daripadanya dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan. Bagaimanapun suaminya ditemui mati, Kanchan Choudhury memberitahu Reuters sambil menangis ketika menunggu untuk menuntut pampasan di kaunter di pusat itu.

Keluarga si mati akan mendapat pampasan 1 juta rupee, manakala yang cedera parah akan mendapat 200,000 rupee, dengan 50,000 rupee untuk kecederaan ringan, kata Vaishnaw.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 3:32pm
d