Asia

Cuaca panas terik, jambori pengakap diminta ditamatkan lebih awal

Oleh BERNAMA-YONHAP

Seoul: Acara Jambori Pengakap Sedunia di Korea Selatan berdepan ketidaktentuan apabila pertubuhan pengakap dunia meminta untuk menamatkan acara itu lebih awal daripada yang dirancang, dengan kontinjen Britain dan Amerika Syarikat memilih untuk menarik diri dari tapak perkhemahan di tengah-tengah kebimbangan keselamatan yang semakin mendalam akibat gelombang haba.

Di sebalik ikrar kerajaan Seoul untuk memberikan sokongan "sepenuhnya", kritikan berterusan berhubung kurangnya persediaan untuk acara itu di Saemangeum apabila sebilangan besar peserta menunjukkan tanda-tanda penyakit berkaitan haba.

Wakil-wakil dari negara-negara yang mengambil bahagian dalam jambori itu dijangka membuat keputusan sama ada untuk menghentikan, memendekkan atau meneruskan acara itu, ketika mereka bertemu pada pagi Sabtu, lapor agensi berita Yonhap.

Kira-kira 43,000 pengakap muda dari 158 negara menyertai acara itu di tapak perkhemahan.

Pada Jumaat, Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) mengeluarkan kenyataan menggesa langkah "alternatif" untuk menyelesaikan isu yang berpunca daripada suhu terik.

Selaras dengan keputusan penarikan diri mereka yang diumumkan pada Jumaat, Pengakap British mula berlepas ke Seoul dari Saemangeum dengan menaiki bas pada Sabtu.

Kira-kira 4,500 rakyat British menyertai acara itu, menjadi kontinjen terbesar dalam edisi tahun ini.

Sebahagian daripada mereka mengadu tentang gigitan serangga, keadaan bilik mandi yang kotor dan isu-isu lain.

Namun, mereka merancang untuk kekal di Korea dan pulang ke tanah air seperti yang dirancang pada 13 Ogos, menurut satu kenyataan yang disiarkan di laman web mereka.

Seorang pegawai kanan kontinjen AS Lou Paulsen memberitahu agensi berita Yonhap bahawa disebabkan cuaca panas, Pengakap AS akan berpindah ke Camp Humphreys, sebuah kem tentera Amerika di Pyeongtaek, 65 kilometer di selatan Seoul, pada pagi Ahad, dan mereka merancang untuk tinggal di sana hingga 11 Ogos.

Pengakap Singapura juga memutuskan untuk meninggalkan Saemangeum lebih awal daripada yang dirancang, menurut jawatankuasa penganjur jambori. Seramai 67 warga Singapura dilaporkan telah mengambil bahagian dalam acara itu.

Walaupun langkah penarikan diri, pengakap dari Filipina, Arab Saudi dan Argentina berkata mereka akan kekal di tapak perkhemahan.

Keputusan menarik diri dibuat walaupun Presiden Yoon Suk Yeol mengarahkan kerajaan untuk menyediakan bas berhawa dingin dan trak peti sejuk tanpa had untuk melindungi peserta muda dalam acara jambori dan memuktamadkan perbelanjaan 6.9 bilion won (AS$5.3 juta) untuk membantu acara itu.

Disiarkan pada: August 5, 2023 @ 4:34pm
d