Asia

Krisis Palestin - Israel : Angka korban di Gaza meningkat kepada 1,900

Oleh Agensi

Baitulmaqdis: Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan udara besar-besaran Israel terhadap Semenanjung Gaza meningkat kepada 1,900, lapor Kementerian Kesihatan pada Jumaat.

Agensi Anadolu melaporkan, kementerian dalam satu kenyataan melaporkan bahawa 614 kanak-kanak dan 370 wanita adalah antara individu yang terbunuh dalam serangan Israel.

Dalam kenyataan sama, Israel digesa menamatkan serangan kerana jumlah individu yang cedera meningkat kepada 7,696, termasuk 2,000 kanak-kanak dan 1,400 wanita.

Selain itu, 15 kakitangan kesihatan terkorban, manakala 27 yang lain cedera dalam serangan Israel.

Kenyataan itu melaporkan, Hospital Kanak-Kanak Al-Durra Gaza diserang dengan bom fosforus putih oleh tentera Israel, dan susulan itu, pesakit dan kakitangan dipindahkan ke Hospital Kanak-kanak El Nasr.

Sistem penjagaan kesihatan yang semakin merosot di Gaza menerima tekanan susulan perkembangan itu, menyebabkan pelbagai pihak menggesa supaya koridor selamat diwujudkan di wilayah itu.

Ia bagi memudahkan pemindahan mangsa yang cedera serta penghantaran bahan api, bekalan perubatan juga kakitangan kesihatan ke wilayah.

Dalam peningkatan dramatik ketegangan Timur Tengah, tentera Israel melancarkan kempen ketenteraan yang berterusan dan kuat terhadap Semenanjung Gaza. Ia sebagai tindak balas terhadap serangan tentera oleh kumpulan Palestin Hamas di wilayah Israel.

Konflik bermula Sabtu lalu apabila Hamas memulakan Operasi Banjir Al-Aqsa terhadap Israel, serangan mengejut pelbagai serampang termasuk roket bertubi-tubi dan pencerobohan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Hamas berkata. operasi itu sebagai tindakan balas terhadap pencerobohan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur

Ia juga kerana keganasan peneroka Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

Tentera Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Tindak balas Israel diperluaskan kepada pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, memburukkan lagi kehidupan penduduk di wilayah yang dikenakan sekatan sejak 2007.

Disiarkan pada: October 14, 2023 @ 11:09am
d