Asia

China didakwa tutup, ubah ratusan masjid di wilayah utara

Oleh Agensi

Beijing: Pihak berkuasa China didakwa menutup atau mengubah ratusan masjid di Ningxia dan Gansu, wilayah utara yang menjadi tempat tinggal kepada penduduk Islam tertinggi di China selepas Xinjiang.

The Guardian melaporkan, langkah itu dilakukan sebagai usaha yang lebih luas untuk sinicizationatau pencinaan masyarakat minoriti agama di China, menurut satu laporan.

Penyelidik di Human Rights Watch (HRW) berkata, Kerajaan China mengurangkan dengan ketara bilangan masjid di wilayah autonomi Ningxia dan Wilayah Gansu.

Parti Komunis China (PKC) sudah lama mengekalkan cengkamannya terhadap agama dan etnik minoriti China.

Pada April 2018, Beijing mengeluarkan arahan yang menyatakan bahawa pegawai kerajaan harus mengawal dengan ketat pembinaan dan susun atur tempat aktiviti Islam serta mematuhi prinsip merobohkan lebih banyak dan mengurangkan bangunan digunakan untuk tujuan itu.

Penyelidik di HRW menganalisis imej satelit untuk meneliti dasar penyatuan masjid di dua kampung di Ningxia.

Hasil analisis itu, mereka mendapati kubah dan menara sudah dialihkan dari semua tujuh masjid, antara 2019 dan 2021.

Empat daripada masjid diubah suai dengan ketara, tiga bangunan utama dihancurkan dan tempat wuduk di satu bangunan, rosak.

Sementara itu, pensyarah di University of Plymouth, Hannah Theaker yang meneliti topik itu dengan David Stroup, dari University of Manchester berkata, penghapusan tempat wuduk adalah salah satu cara memastikan kemudahan itu tidak digunakan.

Theaker dan Stroup menganggarkan bahawa kira-kira 1,300 masjid di Ningxia dan sepertiga daripada jumlah yang didaftarkan sudah ditutup.

Angka itu tidak termasuk masjid yang ditutup atau dirobohkan kerana statusnya yang tidak rasmi, yang kebanyakannya berlaku sebelum 2020.

HRW tidak dapat menentukan jumlah sebenar masjid yang ditutup atau diubah suai sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi laporan kerajaan mencadangkan jumlah itu berkemungkinan ratusan.

Seorang imam di Ningxia yang ditemuramah oleh Radio Free Asia (RFA) berkata, dasar penyatuan masjid bermakna mana-mana masjid terletak dalam jarak 2.5 kilometer antara satu sama lain perlu digabungkan.

"Apabila masjid ditutup, ramai orang muda dan pertengahan umur tidak lagi pergi ke masjid untuk mengambil bahagian dalam aktiviti keagamaan, dan generasi akan datang perlahan-lahan akan hilang kepercayaan dan keyakinan dengan Islam …, " beliau dipetik berkata dalam laporan RFA itu.

Disiarkan pada: November 23, 2023 @ 10:47am
d