Asia

Remaja minta maaf paksa kucing 'merokok'

Oleh Agensi

Jakarta: Remaja perempuan di Tebing Tinggi, Sumatera Utara, Indonesia, terpaksa membuat permohonan maaf selepas tular video memaparkan dia memaksa seekor kucing menghisap rokok, lapor laman berita Suara.com.

Menerusi video berkenaan, remaja dikenali Khoirunnisa, 18, itu dilihat duduk di tepi jalan sambil merokok.

Dia kemudian meletakkan rokok pada mulut seekor kucing yang berada di sebelahnya.

Khoirunnisa kemudiannya memaksa haiwan itu menghisap rokok.

Gadis itu kemudian menghembuskan asap rokok ke arah haiwan berkenaan, sebelum membiarkan kucing itu berlalu.

Susulan video tular itu, polis Tebing Tinggi bertindak dengan menjalankan siasatan lanjut.

Siasatan itu dijalankan dengan pergi ke rumah Khoirunnisa untuk menyoal siasatnya.

Gadis itu kemudian memberitahu yang dia menyesali perbuatannya dan mengaku hanya bergurau.

"Dia menyesal dengan perbuatannya dan mengatakan hanya bergurau serta tidak bermaksud untuk menyeksa haiwan," kata polis.

Khoirunnisa memuat naik video penjelasan dan permohonan maaf kepada masyarakat Indonesia berhubung perbuatannya.

Disiarkan pada: January 4, 2024 @ 1:55pm
d