Asia

Pura-pura mati tiga hari

Oleh Agensi

Gaza: Antara lebih 22,600 penduduk Palestin yang syahid akibat serangan Israel, terselit anggota keluarga pemuda dikenali Moemen Raed al-Khaldi.

Moemen berkata, ketika ahli keluarganya dibunuh di rumah tempat mereka berlindung di utara Gaza, dia terpaksa berpura-pura mati selama tiga hari.

Ceritanya, tentera rejim zionis menceroboh rumah itu pada 21 Disember lalu, dan menembak mati semua orang dalam sekelip mata.

"Mereka beredar selepas rasa semua orang sudah mati tetapi saya masih hidup dan berlumuran darah.

"Saya terpaksa berpura-pura mati sebelum ditemui jiran beberapa hari selepas itu dan membawa saya ke Hospital al-Shifa," katanya kepada Middle East Eye.

Keluarga Khaldi ke rumah saudara mereka di kejiranan Sheikh Radwan di utara Gaza selepas dipaksa meninggalkan kediaman mereka.

Pada hari malang itu, Moemen berkata, mereka selesai solat dan berbaring di atas lantai untuk tidur, apabila tentera Israel menyerbu pintu depan rumah.

Menurutnya, tentera itu mengarahkan mereka mengosongkan rumah yang ditutur dalam bahasa Hebrew.

"Namun tiada siapa antara kami faham bahasa Hebrew dan tentera itu tidak bertutur bahasa Arab.

"Datuk saya cuba terjemah bahasa berkenaan tetapi dia hanya faham sedikit dan berkata 'dengar apa tentera suruh dan keluar'.

"Tentera itu menyangka ayah saya yang bercakap, jadi mereka tembaknya hingga mati," katanya.

Menurutnya, tembakan itu berterusan mengena ahli keluarga termasuk Moemen.

"Kemudian datuk saya syahid, diikuti bapa saudara dan dua lelaki yang berlindung bersama kami, seterusnya pemilik rumah.

"Selepas itu nenek saya dan wanita hamil meninggal dunia," katanya yang ditembak pada kaki.

Pemuda itu berkata, selepas cedera parah, dia hanya terbaring tidak bergerak di antara bapa saudaranya dan dinding untuk melindungi diri.

"Saya lindungi kepala saya dan kekal dengan posisi begitu selama tiga hari seperti orang sudah mati. Ketika itu, tentera keluar masuk memusnahkan tempat berkenaan tetapi saya tetap pura-pura tidak bernyawa," katanya.

Seorang lagi penduduk, Jamal Naim berkongsi detik menyaksikan tentera Israel tanpa perikemanusiaan membunuh saudaranya, Kamel Mohammed Nofal, 65, yang juga pesara kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurutnya, Kamel dibunuh di hadapan isteri dan empat anaknya selepas memberitahu kepada tentera itu yang semua anaknya berusia antara 31 hingga 40 tahun adalah orang kurang upaya (OKU) pekak, bisu dan cacat penglihatan.

Selepas menembak warga emas itu, tentera Israel menahan anak Kamel dan ahli keluarganya yang lain, malah lokasi mereka tidak diketahui hingga kini.

Disiarkan pada: January 7, 2024 @ 2:09pm
d