Asia

Istiadat perkahwinan Putera Mateen, Dayang Anisha bermula

Oleh Agensi

Bandar Seri Begawan: Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah bakal bernikah dengan Dayang Anisha Rosnah Adam, Khamis ini.

Siaran berita RTB Brunei melaporkan, istiadat perkahwinan pasangan diraja itu akan berlangsung selama 10 hari.

Katanya, ia dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada semalam (7 Januari) diikuti Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari.

Acara kemuncak iaitu Majlis Bersanding Pengantin Diraja dijadualkan berlangsung di Istana Nurul Iman, pada 14 Januari.

Seterusnya, pasangan itu bakal menyertai perarakan mengelilingi ibu kota Brunei, Bandar Seri Begawan.

Majlis Persantapan Diraja pula akan diadakan pada 15 Januari diikuti Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari.

Untuk rekod, Mateen, 32, ialah anakanda kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz.

Selain itu, pengantin wanita pula ialah cucu penasihat khas kepada Sultan Brunei, Pehin Datuk Isa.

Menurut laporan The National News, Mateen anak ke-10 Sultan Hassanal Bolkiah.

Beliau adalah keenam dalam giliran pewaris takhta, namun dilihat sering mengiringi ayahandanya ketika lawatan rasmi ke luar negara.

Mateen adalah lulusan dalam politik antarabangsa dari King's College London. Ketika ini, beliau adalah juruterbang helikopter untuk Tentera Udara Diraja Brunei, yang berpangkat Mejar.

Selain itu, putera ini juga adalah pemain polo dan mewakili negaranya dalam acara sukan itu pada Sukan Asia Tenggara pada 2017 dan 2019.

Disiarkan pada: January 8, 2024 @ 8:19am
d