Asia

Letupan akibat kemalangan trak gas LNG korbankan 6 orang

Oleh AFP

Ulaanbaatar: Enam orang termasuk anggota penyelamat terbunuh dan 14 lagi cedera dalam letupan gas yang disebabkan kemalangan kenderaan di ibu negara Mongolia semalam.

Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Mongolia (NEMA) berkata, sebuah trak yang membawa 60 tan gas asli cecair (LNG) bertembung dengan kereta yang menyebabkan berlaku letupan pada awal pagi.

"Menurut siasatan awal, tiga orang maut dalam kebakaran itu," kata NEMA dalam laman webnya, sambil menambah tiga anggota bomba turut terbunuh, manakala 14 orang sudah dihantar ke hospital untuk rawatan perubatan.

Seramai 10 orang dirawat akibat melecur, manakala seorang kanak-kanak dirawat kerana keracunan dan tiga bayi lain dalam pantauan.

Pasukan penyelamat yang dihantar ke tempat kejadian, berjaya mengawal api sebelum kebakaran padam sepenuhnya.

Imej yang dikongsi NEMA menunjukkan pasukan perkhidmatan kecemasan berada di tempat kejadian pada awal pagi, ketika api marak di atas jalan raya.

Gambar lain turut menunjukkan bara daripada dua kenderaan yang terbakar bertebaran yang menyebabkan kerosakan di kawasan berdekatan jalan, termasuk tingkap sekolah berhampiran.

NEMA berkata, penduduk blok pangsapuri berdekatan telah dipindahkan buat sementara waktu, manakala jalan di kawasan terjejas ditutup untuk kerja pembersihan.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Mongolia, Richard Buangan menyatakan kesedihannya susulan kemalangan tragis itu.

"Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan sekerja anggota kakitangan NEMA yang kehilangan nyawa mereka dalam insiden yang dahsyat ini," katanya dalam catatan di X.

Turut menzahirkan dukacita, Duta EU ke Mongolia, Axelle Nicaise.

Disiarkan pada: January 25, 2024 @ 10:02am
d