Asia

PM Palestin letak jawatan, desakan dari negara Arab

Oleh Bernama-Dpa

Ramallah/Tel Aviv: Perdana Menteri Wilayah Palestin, Mohammad Shtayyeh, menyerahkan peletakan jawatannya di Ramallah pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Presiden Palestin Mahmoud Abbas dilaporkan meminta peletakan jawatan berikutan tekanan daripada negara Arab di rantau itu dan Amerika Syarikat, menurut laporan penyiar Watan TV, yang memetik pegawai kerajaan.

Langkah itu dilihat sebagai satu langkah ke arah mencapai keamanan di Timur Tengah dengan mereformasikan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk mentadbir Gaza sebaik perang berakhir.

Peletakan jawatan Shtayyeh dilihat sebagai langkah yang agak simbolik, kerana ia membuka pintu kepada matlamat penyelesaian dua negara – walaupun masih banyak halangan.

Shtayyeh, yang dianggap sebagai kolaborator setia Abbas, telah berkuasa sejak 2005, dan akan terus berkhidmat sebagai ketua kerajaan sementara. Pembentukan kerajaan baharu boleh mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Kejayaannya bergantung pada sama ada perang di Semenanjung Gaza boleh ditamatkan dan pengunduran tentera Israel yang diawasi secara antarabangsa dari kawasan pantai boleh dicapai.

Pihak Berkuasa Palestin (PA), di bawah pimpinan Abbas, mentadbir bahagian Tebing Barat yang diduduki Israel. Puak yang paling penting di dalamnya adalah gerakan Fatah, yang juga dipimpin oleh Abbas.

Bagaimanapun Hamas, bukan ahli di bawah pimpinan Abbas.

Menurut AS, PA yang direformasi secara asasnya adalah untuk mentadbir Semenanjung Gaza selepas tamat perang Gaza.

Israel menolak sekeras-kerasnya rancangan ini kerana ia tidak mahu melihat sama ada Hamas atau PA pimpinan Fatah sebagai kuasa pemerintahan di Gaza.

Disiarkan pada: February 26, 2024 @ 6:01pm
d