Asia

Terkilan tidak dapat lihat jenazah isteri buat kali terakhir

Oleh Agensi

Jakarta: Seorang penjual susu kembara di Indonesia terkilan tidak dapat melihat jenazah isterinya buat kali terakhir apabila tiada wang balik ke kampung halaman.

Wakyani yang berusia 80 tahun meninggalkan kampungnya bagi mencari rezeki di perantauan.

Kisah Wakyani tular selepas video dia berkongsi keadaannya sambil menangis dimuat naik pemilik akaun TikTok @_nautami yang mendekati warga emas itu.

Menurut Wakyani dalam video itu, dia sangat sedih kerana tidak dapat melihat isterinya buat kali terakhir.

Malah katanya, dia terkilan kerana tidak dapat mengebumikan isterinya kerana tiada wang untuk pulang ke kampung halaman disebabkan terpaksa mencari rezeki di luar.

Sementara itu, pemilik akaun itu turut mengajak pengikutnya supaya sama-sama membantu warga emas itu.

Dalam video terbaharu, pemilik akaun itu merakamkan detik bertemu semula dengan Wakyani yang masih setia bekerja keras menolak troli untuk menjual susunya walaupun cuaca hujan.

"Kami memberitahunya jika video ini tular, ramai juga yang ingin menghulurkan sumbangan untuk tambang pulang ke kampung halaman supaya dia dapat menziarahi kubur isterinya yang baru meninggal dunia.

"Dia terkejut dan terharu," kata pemilik akaun itu seperti dipetik TribunTrends.

Muat naik video itu kemudiannya tular di media sosial dan ramai netizen berpusu-pusu menghulurkan sumbangan.

"Tuhan hendak beri rezeki Wakyani melalui video supaya orang ramai berpusu-pusu menderma. Tak kira dari mana datangnya, di luar jangkaan.

"Mungkin ini juga jawapan kepada doa anda.

"Terima kasih atas kesabaran dan ketabahan anda sehingga hari ini," tulis pemilik akaun itu.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 1:31pm
d