Asia

'Kekejaman paling mengerikan di Gaza'

Oleh Agensi

New York: Empat pakar luar negara yang bertugas di Gaza, Palestin membayangkan keadaan di wilayah itu sangat mengerikan dan tidak pernah dilihat mereka sebelum ini.

Doktor terbabit dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis berkongsi kekejaman Israel di wilayah itu ketika bertemu dengan wakil wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pegawai pentadbiran Presiden Joe Biden dan ahli Kongres di Washington, baru-baru ini.

Empat pakar itu memberitahu, hampir setiap hari doktor yang bertugas di Semenanjung Gaza berdepan keputusan mengerikan akibat perang di wilayah itu.

Pakar bedah kanser dari Oxford, Nick Maynard yang berpengalaman 15 tahun dalam pembangunan kesihatan di Gaza berkata, dia menyangka bersedia dengan apa yang menantinya apabila sekali lagi dapat menjejakkan kaki di wilayah Palestin pada Disember lalu sebagai sebahagian daripada pasukan perubatan kecemasan UK pertama yang tiba sejak meletusnya perang pada Oktober lalu.

"Tetapi selama dua minggu di Hospital Al-Aqsa, saya melihat kekejaman paling mengerikan dan tidak pernah saya jangka dalam mana-mana persekitaran penjagaan kesihatan.

"Pengeboman dilakukan besar-besaran dan sewenang-wenangnya membunuh ribuan orang awam dan sasaran sangat jelas terhadap kemudahan dan pekerja penjagaan kesihatan.

"Dengan sengaja memusnahkan infrastruktur semua hospital menjadikannya hampir mustahil untuk menyediakan apa-apa yang menyerupai penjagaan kesihatan biasa kepada penduduk. Gaza," katanya di ibu pejabat PBB di New York, baru-baru ini.

Maynard berkata, tindakan Israel menyerupai definisi kamus pembunuhan beramai-ramai yang direka untuk menghalau rakyat Palestin keluar dari Gaza serta beliau menolak dakwaan Israel bahawa Hamas menggunakan pusat kesihatan sebagai tempat operasi mereka.

"Saya telah melakukan banyak kali lawatan ke Hospital Al-Shifa dan hospital lain, malah saya tidak pernah melihat sebarang bukti aktiviti ketenteraan kumpulan Hamas di mana-mana hospital," katanya.

Seorang doktor Syria-Amerika yang juga pengasas bersama dan presiden MedGlobal, Zaher Sahloul berkata, dia tiba di Gaza pada Januari lalu dan melihat kemusnahan teruk wilayah itu yang tidak boleh didiami.

"Keruntuhan sistem penjagaan kesihatan akan menyebabkan wanita hamil mati akibat pendarahan dan pesakit cirit-birit mati akibat dehidrasi.

"Keadaan kronik seperti penyakit jantung, diabetes dan pelbagai jenis kanser yang memerlukan ubat biasa, dialisis, kemoterapi dan radioterapi tidak dapat dirawat akibat kekurangan dan kemusnahan infrastruktur penjagaan kesihatan," katanya,

Paling membuat hatinya tersentuh, nasib anak kecil yang trauma kehilangan keluarga, malah mereka juga cedera teruk dalam pengeboman hingga tidak dapat diselamatkan kerana akses terhad.

"Hiam Abu Khodr badannya melecur tahap tiga hingga 40 peratus.

"Hiam menunggu berminggu-minggu untuk pemindahan ke Mesir bagi menjalani rawatan tetapi dia meninggal dunia akibat kecederaannya dua hari selepas meninggalkan Gaza.

"Mohmad Abu Shahla, 12 tahun, tidak boleh bernafas dan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan dari perutnya sebelum dibawa ke unit rawatan rapi tetapi dia tidak bangun lagi," katanya yang membuat salinan sijil kematian kanak-kanak itu untuk menyimpannya sebagai bukti.

Menurut Zaher, hanya 10 peratus daripada 8,000 pesakit yang memerlukan pemindahan untuk rawatan di luar negara dapat keluar selebihnya bergelut di tanah air mereka dalam serba kekurangan.

Sementara itu, doktor perubatan kecemasan Palestin-Amerika, Thaer Ahmad, berkata biarpun memiliki kepakaran merawat pesakit, mereka tidak berdaya membantu penduduk di sana kerana akses dan bekalan tiada.

"Contohnya jika seseorang mengalami kesukaran bernafas kerana udara dipenuhi asap, kami tidak dapat mendapatkan alat bagi merawat asma mereka.

"Kami pernah mendengar orang terpaksa menggunakan beg plastik kerana mereka tidak dapat mencari lampin dan jika mereka menemuinya, harganya sangat tinggi kerana inflasi dan kekurangan bekalan," katanya.

Beliau berharap, gencatan senjata di Gaza dapat dihentikan segera bagi menamatkan penderitaan penduduk Gaza.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 2:35pm
d