Asia

Polis bongkar pemerdagangan manusia di sebalik latihan praktikal di Jerman

Oleh BERNAMA

Jakarta: Polis Indonesia sedang menyiasat rangkaian pemerdagangan manusia yang berselindung di sebalik program latihan praktikal di Jerman yang dikenali sebagai Ferienjob.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah, program yang disertai pelajar universiti bertentangan dengan objektif Ferienjob, satu skim rasmi di Jerman untuk pelajar di sana bekerja semasa cuti semester.

"Mereka telah dieksploitasi untuk bekerja secara haram dan tidak mengikut prosedur," kata Pengarah Jenayah Am, Brigedier Jeneral Djuhandhani Rahardji Puro dalam kenyataan.

Siasatan bermula susulan laporan Kedutaan Indonesia di Berlin mengenai empat pelajar yang meminta bantuan berhubung program latihan praktikal yang dijalani.

Kedutaan mendapati seramai 1,047 pelajar daripada 33 universiti telah dihantar ke Jerman untuk menyertai program latihan praktikal haram itu.

Djuhandhani berkata polis telah mengenal pasti lima warga tempatan - tiga berada di Indonesia dan dua lagi berada di Jerman - untuk membantu siasatan.

Individu berkenaan dikatakan mempunyai peranan masing-masing termasuk menjalinkan kerjasama dengan universiti dan agensi penempatan pelajar di Jerman, mempromosi program, pengurusan visa serta dokumen berkaitan.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 5:48pm
d