Asia

Hampir 20,000 buah mangga dari Malaysia dilupuskan di Riau

Oleh BERNAMA

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia pada Khamis memusnahkan kira-kira 19,800 buah mangga dari Malaysia yang dirampas di kawasan perairan Kepulauan Meranti, Riau pada 11 Mac.

Tindakan tersebut adalah bagi mengekang peredaran makanan tidak terjamin kualiti dan mengelak potensi kerugian negara sebanyak 131 juta rupiah (RM40,000), demikian menurut Pejabat Pengawasan Kastam dan Eksais Bengkalis.

"Selain menghalang pelanggaran kastam, kami membantu produk tempatan kekal berdaya saing dan melindunginya daripada persaingan produk luar negeri," kata ketua pejabat Agoes Widodo.

Agoes dalam kenyataan sebelum ini berkata operasi penguatkuasaan patrol laut berjaya memintas kapal KM Zulfa 03 yang membawa muatan mangga Malaysia itu di sekitar Kuala Sungai Terus dan Perairan Desa Meranti Bunting pada kira-kira 6.30 pagi waktu tempatan 11 Mac.

Tiga warga tempatan ditahan kerana tidak memiliki dokumen pembayaran cukai dan permit import, manakala seorang lagi yang lolos semasa penguatkuasaan masih diburu, katanya.

Buah mangga berkenaan dimusnahkan di Pejabat Kuarantin Haiwan, Ikan, dan Tumbuhan di Selatpanjang pada Khamis, mengikut prosedur kawal selia sedia ada disebabkan hasil rampasan yang mudah rosak.

Disiarkan pada: March 29, 2024 @ 5:54pm
d