Asia

Pempengaruh disangka penjenayah

Oleh Agensi

Beijing: Pengikut pempengaruh China, Zhao Shilei tampil membuat laporan polis selepas menyedari wajah personaliti itu yang mirip seorang suspek kes bunuh pada 2006.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, laporan polis itu dibuat pada 15 April lalu.

Tindakan itu dibuat selepas polis di bandar berkenaan mengeluarkan notis dengan lakaran wajah dua suspek kes bunuh, dan tawaran ganjaran 200,000 yuan (kira-kira RM142,043) kepada mereka yang dapat menjejakinya.

Salah seorang suspek, dianggarkan berusia 20-an ketika melakukan jenayah, tidak dinamakan dan memakai cermin mata hitam, dengan garis rahang yang jelas.

Lantaran pendedahan polis, segelintir warganet mula membuat andaian dengan mendakwa lakaran wajah itu sangat mirip dengan pempengaruh, Kuaishou Zhao dan melaporkannya kepada polis.

Dakwaan itu bersandarkan fakta yang Zhao juga berusia 20-an, ketika pembunuhan berkenaan.

Dalam kejadian pada Ogos 2006, seorang individu maut ditikam di bandar Xilinhot di wilayah autonomi Mongolia dekat China utara dan suspek melarikan diri.

Pada 16 April, Zhao, 37, secara terbuka mengeluarkan gambar lama dirinya pada 2006 untuk membuktikan bahawa dia bukannya suspek berkenaan.

Bagaimanapun, seorang peminat menyatakan bahawa tingkah laku Zhao yang tidak menentu di platform media sosial, juga menyebabkan dia disyaki sebagai suspek.

Zhao menjawab dengan mengatakan bahawa pada 2006, dia tinggal di Shanghai, jauh dari tempat kejadian di Xilinhot.

Menurut rekod, pempengaruh itu dilahirkan di Hulunbuir dekat Inner Mongolia, tetapi meninggalkan bandar berkenaan pada usia sembilan tahun.

Polis di Xilinhot berkata, mereka sedang menyiasat laporan dalam talian itu.

"Fokus utama kami masih kepada penduduk tempatan. Zhao berasal dari Hulunbuir, yang agak jauh," kata penyiasat.

Zhao mengumpul pengikut di aplikasi Kuaishou selepas aktif membincangkan skandal dalam industri hiburan.

Disiarkan pada: May 5, 2024 @ 4:22pm
d