Asia

Pejabat Al Jazeera di Baitulmaqdis diserbu

Oleh Reuters

Baitulmaqdis: Pihak berkuasa Israel menyerbu bilik hotel di sini, yang digunakan oleh stesen televisyen Al Jazeera sebagai pejabatnya.

Serbuan itu dilakukan selepas Israel memutuskan untuk menutup operasi stesen televisyen milik Qatar itu pada Ahad, kata seorang pegawai Israel dan sumber Al Jazeera memberitahu Reuters.

Berdasarkan video yang tular, pegawai berpakaian biasa dilihat menyelongkar bilik itu yang turut dilengkapi peralatan kamera, menurut sumber Al Jazeera berada di Baitulmaqdis Timur.

Kabinet Israel diketuai Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menutup rangkaian televisyen itu selagi perang di Gaza berterusan, dengan mengatakan ia mengancam keselamatan negara.

Al Jazeera berkata ia adalah 'tindakan jenayah' dan tuduhan bahawa rangkaian itu mengancam keselamatan Israel adalah 'pembohongan berbahaya dan tidak masuk akal' yang meletakkan wartawannya dalam risiko.

"Saluran Al Jazeera akan ditutup di Israel," Netanyahu dalam media sosial selepas Kabinet sebulat suara berhubung keputusan itu.

Menurut kenyataan kerajaan, menteri komunikasi Israel menandatangani arahan untuk 'bertindak segera', tetapi sekurang-kurangnya seorang ahli parlimen yang menyokong penutupan itu berkata Al Jazeera masih boleh cuba menghalangnya di mahkamah.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan termasuk menutup pejabat Al Jazeera di Israel, merampas peralatan penyiaran, memotong saluran daripada syarikat kabel dan satelit serta menyekat laman webnya.

Bagaimanapun, ia tidak menyebut operasi Al Jazeera di Gaza.

Tiada komen rasmi daripada kerajaan Qatar berhubung perkara itu.

Rangkaian itu bulan lalu mengadu mengenai 'rangkaian serangan sistematik Israel' bertujuan mengunci mulut Al Jazeera.

Ia berkata Israel sengaja menyasar dan membunuh beberapa wartawannya, termasuk Samer Abu Daqqa dan Hamza AlDahdooh, kedua-duanya terbunuh di Gaza semasa konflik.

Bagaimanapun, Israel berkata ia tidak menyasarkan wartawan.

Qatar menubuhkan Al Jazeera pada tahun 1996 dan melihatnya sebagai satu cara untuk memperkukuh profil globalnya.

"Rangkaian media Al Jazeera mengecam sekeras-kerasnya perbuatan jenayah itu yang melanggar hak asasi manusia dan hak asasi untuk mengakses maklumat serta berhak mengambil tindakan undang-undang," kata rangkaian itu dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Al Jazeera menegaskan haknya untuk terus menyampaikan berita dan maklumat kepada masyarakat antarabangsa.

Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mengkritik penutupan itu.

"Kami kesal dengan keputusan kabinet untuk menutup Al Jazeera di Israel," katanya di X.

"Media yang telus dan bebas adalah penting untuk memastikan ketelusan serta akauntabiliti, lebih-lebih lagi sekatan yang ketat terhadap pelaporan dari Gaza.

"Kebebasan bersuara adalah satu hak asasi manusia utama. Kami menggesa kerajaan membatalkan larangan itu," kata kenyataan itu.

Disiarkan pada: May 6, 2024 @ 1:01pm
d