Asia

Suami disimbah dengan asid, sos cili kerana kahwin lain

Oleh Agensi

Jakarta: Marahkan suaminya berkahwin dengan dengan wanita lain, seorang isteri di Sumatera Selatan, Indonesia menyimbah asid dan sos cili terhadap lelaki itu.

Ketua Perhubungan Awam Polis Muba, Susianto mengesahkan, penahanan wanita dari Musi Banyuasin itu selepas empat minggu menyembunyikan diri.

Katanya, kejadian berlaku di kediaman pasangan itu di Kampung Babat, Babat Toman, Ahad lalu itu selepas suspek beremosi kerana mendapati suaminya berkahwin dengan wanita idamannya dikenali menerusi media sosial.

"Suri rumah itu menyimbah asid sulfurik dan air sos cili ke badan suaminya.

"Daripada hasil pemeriksaan, suspek mengakui perbuatannya bermula apabila dia ternampak hantaran di laman sosial Facebook tentang gambar suaminya berkahwin dengan wanita lain," katanya menerusi detikSumbagsel, semalam.

Katanya, atas perbuatannya itu, suspek ditangkap dan ditahan di penjara Babat Toman Muba.

"Suspek rasa dikhianati suaminya sebelum menyerang mangsa dengan bahan berkenaan yang disimpan dalam dua botol minuman mineral terpakai ke arah badan mangsa.

"Akibat kejadian itu, muka mangsa melepuh. Tangan kiri dan kanan, dada dan perut turut melecur.

"Disebabkan tidak menerima apa yang dilakukan isterinya, mangsa kemudian melaporkannya kepada Polis Babat Toman," katanya.

Sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara 10 tahun kerana keganasan rumah tangga.

Disiarkan pada: May 11, 2024 @ 3:10pm
d