Eropah

24 korban cuaca sejuk di Eropah

Oleh AFP

Paris: Sekurang-kurangnya 24 maut di seluruh Eropah dalam tempoh empat hari akibat kesejukan melampau membawa salji tebal berikutan angin kencang dari Siberia menyebabkan suhu menjunam.

Sekurang-kurangnya lima kematian dilaporkan di Poland pada Isnin ketika suhu menurun ke negatif 16 darjah Celsius di Warsaw, menjadikan angka kematian akibat cuaca sejuk melampau di negara itu meningkat kepada 53 orang sejak November.

Bandar di seluruh benua itu menyediakan pusat perlindungan kecemasan dan bantuan kepada gelandangan, golongan paling banyak mencatat kematian sejak Jumaat lalu iaitu tiga di Perancis, tiga di Republik Czech dan satu di Itali.

Di Belgium, bandar termasuk Etterbeek, Verviers dan Charleroi memutuskan menggunakan polis untuk menahan gelandangan jika mereka enggan ditempatkan ke pusat perlindungan.

Palang Merah yang menubuhkan pasukan kecemasan di seluruh Eropah, menggesa penduduk mengawasi jiran dan saudara mara.

"Mengetuk pintu untuk memeriksa jika mereka mempunyai keperluan cukup memberi perbezaan besar. Ia juga memberi perbezaan antara hidup dan mati," katanya.

Badan kebajikan itu juga mengeluarkan rayuan awam untuk mengumpul 10,000 selimut di Perancis, di mana kira-kira 50 pegawai tempatan di rantau ini berikrar untuk bermalam di luar bagi meraih perhatian terhadap nasib gelandangan.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 4:12am
d