Eropah

Maut disengat ikan ketika snorkeling

Oleh Agensi

Madrid: Seorang remaja lelaki maut akibat terkena sengat ikan beracun ketika melakukan aktiviti snorkeling di sebuah pantai peranginan popular di Sepanyol.

Portal Mirror melaporkan kejadian itu berlaku di sebuah pantai peranginan popular, Platja d' Aro di Costa Brava, Jumaat lalu.

Mangsa yang berusia 16 tahun diselamatkan oleh pengunjung pantai itu.

Ia selepas ibu bapanya mendakwa anak mereka tidak kelihatan selama setengah jam ketika melakukan aktiviti snorkeling.

Pada awalnya, Arnau B, dipercayai lemas, namun pemeriksaan doktor mendapati, terdapat luka di bahagian leher dan mukanya.

Bagaimanapun, ibu bapanya berkata, selepas bedah siasat dijalankan, remaja itu mengalami 'kejutan' anafilaksis selepas digigit ikan spotted weever atau nama saintifiknya, Trachinus araneus.

Ikan berukuran sepanjang 45 sentimeter, mempunyai tiga duri yang sangat beracun di badannya dan menghuni perairan cetek di kawasan berbatu.

Sengatan ikan biasanya menyebabkan kesakitan yang boleh menyebabkan pening, mual dan menyebabkan kematian.

Disiarkan pada: August 24, 2020 @ 5:59am
d