Eropah

'Kamu tak layak'

Oleh Agensi

Berlin: Hanya kerana enggan bersalam dengan pegawai wanita, seorang doktor lelaki Muslim kelahiran Lubnan tidak berjaya memperoleh status warganegara Jerman.

Ia meskipun individu terbabit sudah lulus ujian untuk menjadi warga negara berkenaan.

Portal Deutsche Welle (DW) melaporkan ia diputuskan oleh sebuah mahkamah di Jerman, Jumaat lalu atas alasan lelaki Muslim yang enggan berjabat tangan dengan wanita tidak layak diberi hak kerakyatan.

Mahkamah Baden-Wurttemberg (VGH) turut menetapkan bahawa seseorang yang enggan berjabat tangan kerana mengikut adat dan budaya serta melihat wanita berbahaya kerana boleh menaikkan syahwat sebagai tidak selari dengan amalan gaya hidup di Jerman.

Menurut doktor berusia 40 tahun yang berhijrah ke Jerman pada 2002 itu, beliau enggan berjabat tangan dengan wanita kerana mengikut perintah agama.

Alasan lain adalah kerana lelaki itu sudah berjanji kepada isterinya untuk tidak berjabat tangan dengan mana-mana wanita.

Kejadian pada 2015 itu berlaku ketika pegawai wanita terbabit mahu menyampaikan sijil kewarganegaraan itu kepada doktor terbabit.

Susulan itu, doktor berkenaan mengemukakan permohonan di VGH.

Mahkamah juga menyifatkan budaya berjabat tangan sebagai ucapan selamat tinggal dan tanda perpisahan yang sudah diamalkan sejak berabad lamanya tanpa terikat pada satu-satu jantina saja.

Hakim mendapati amalan berjabat tangan itu juga membawa makna tanda persetujuan antara dua pihak.

"Amalan berjabat tangan sudah berakar umbi dalam kehidupan sosial, budaya dan undang-undang yang membentuk cara kita hidup bersama," katanya.

Justeru, mahkamah mendapati keengganan sesiapa untuk berjabat tangan dengan alasan jantina melanggar apa yang termaktub dalam perlembagaan Jerman.

Tindakan itu juga kata mahkamah, memberi kesan kepada hubungan sosial antara lelaki dan wanita.

Mahkamah memberitahu tiada bezanya berjabat tangan dengan wanita kerana lelaki itu turut menyatakan pendiriannya untuk tidak bersalam dengan kaum sejenis.

Bagaimanapun, lelaki itu memberitahu yang dia hanya mahu menyamaratakan lelaki dan wanita tetapi mahkamah mendapati ia hanya alasan

Mahkamah tetap membuat keputusan itu walaupun pegawai kesihatan sudah mengingatkan untuk tidak berjabat tangan bagi mengelak penularan Covid-19.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 6:30am
d