Eropah

Tatu RM53,833

Oleh Agensi

London: Seorang lelaki sanggup membelanjakan sehingga 11,000 euro (kira-kira RM53,833) untuk mencacah tatu di seluruh badan dan mukanya demi untuk kelihatan seperti zombie.

Model dan pelakon dari London itu, Anderson Garcia Rodrigues, 31, dikatakan mencacah tatu pertamanya pada usia 17 tahun.

Dia bertekad menutup sebahagian badannya dengan tatu apabila mencacah 13 kali tatu lebih besar.

Portal Lad Bible melaporkan dia juga mencacah tatu di salah satu bola matanya dan ia dipercayai sangat menyakitkan.

Lelaki punk yang mengakui gemarkan perhatian itu juga teruja apabila melihat ramai orang yang memandangnya apabila dia keluar bersiar-siar.

Tidak cukup dengan penampilan seperti 'mayat hidup' itu, Anderson menindik pipi, mengubah lidahnya supaya terbelah dan tampil dengan potongan rambut gaya mohawk.

Menurutnya, penampilan peliknya itu mengundang ramai orang menghampirinya dan mahu bergambar.

Anderson berkata, dia sukakan perkara yang di luar kebiasaan sama ada dari segi pilihan muzik dan gaya penampilan.

"Ketika saya masih remaja, saya mempunyai sekumpulan rakan yang memperkenalkan saya dengan dunia tatu dan tindik.

"Saya tidak pernah mahu menjadi konvensional dan oleh itu, pada usia 17 tahun saya berbohong dengan artis tatu mengenai usia saya dan membuat tatu pertama iaitu imej Kurt Cobain.

"Pada mulanya, ibu bapa saya tidak menyukainya tetapi lama-kelamaan mereka terbiasa dan hari ini mereka menyokong saya.

"Orang memanggil saya jelik dan gila dan bertanya apakah ada yang tidak kena dengan diri saya kerana memilih untuk menjadi seperti ini," katanya.

"Saya juga menerima komen daripada sesetengah orang yang mengatakan mereka menyukai penampilan dan keperibadian saya serta memberi inspirasi kepada mereka," katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 6:00am
d