Eropah

Potong hidung kerana Red Skull

Oleh Agensi

Madrid: Gara-gara mahu menyerupai wajah karakter jahat dalam filem fiksyen Captain America, seorang lelaki sanggup menjalani 15 pembedahan menyakitkan termasuk memotong sebahagian hidungnya bagi 'menjiwai' watak Red Skull.

Pelukis tatu, Henry Rodriguez, 34, dari Galicia, Sepanyol itu mengakui bahawa 15 pembedahan dijalani sangat menyakitkan, tetapi dia tidak menyesal.

Portal The Sun melaporkan, katanya, dia memutuskan untuk menjalani pembedahan pada 2012 demi menyerupai watak pejahat utama dalam filem fiksyen keluaran Marvel itu.

Setahun sebelumnya, dia melakukan rundingan dengan doktor pakar untuk melihat karakter sesuai buat dirinya.

"Kami ingin sesuatu yang unik. Idea awalnya adalah tengkorak. Ketika doktor menunjukkan rancangannya, saya kemudian melihat Red Skull," katanya.

Katanya, pembedahan itu antara projek yang sudah dirancang bertahun lamanya dan memerlukan banyak prosedur.

"Antara prosedur pertama adalah menghitamkan mata dengan jumlah keseluruhan kos pembiayaan pembedahan mencecah 27,255 pound sterling (RM147,933).

"Pembedahan ini membabitkan pemotongan hidung, cuping telinga serta implan silikon di dahi, pipi, dan kening," katanya.

Menurutnya, berikutan ingin kelihatan seperti Red Skull, dia memutuskan melakukan lebih banyak pengubahsuaian.

Akuinya, prosedur pembedahan dilakukan sangat menyakitkan, namun dia menegaskan tidak akan menyerah kerana itu adalah impiannya.

"Ia seperti melakukan aktiviti larian. Tanpa rasa sakit tidak akan dapat kemenangan. Itulah daya tarikannya," katanya.

Rodriguez mengakui, dia menjalani transformasi itu tanpa pengetahuan keluarga yang berada di Venezuela.

Dia memutuskan pindah dari Venezuela ke daerah Galicia dikenali Ourense, dan bekerja di studio tatu, Bonshyo.

Rodriguez mengatakan setiap kali dia dibedah, dia tidak memberitahu keluarganya menyebabkan mereka terkejut dengan perubahannya dirinya.

"Awalnya, mereka sangat takut dan terkejut dengan perubahan. Tapi lama-kelamaan mereka sudah biasa," katanya.

Katanya, anak lelakinya berusia tujuh tahun sangat menyukai perubahan dirinya dan memanggilnya superdad.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 7:40am
d