Eropah

Masjid pertama di Athens

Oleh Agensi

Athens: Ibu negara Greece kini mempunyai masjid pertamanya selepas 14 tahun selepas berdepan kerenah birokrasi dan pelbagai episod penentangan.

Al-Jazeera melaporkan masjid itu dibuka secara rasmi pada 1 November lalu.

Bagaimanapun, majlis bacaan doa dilakukan secara sederhana dengan adanya penjarakan fizikal berikutan peningkatan bilangan kes Covid-19 di Greece.

Malah, hanya beberapa individu dibenarkan hadir ke majlis berkenaan.

Zaki Mohammed, 49, yang juga penduduk Greece dan berasal dari Maghribi dilantik sebagai imam pertama masjid berkenaan.

Akhbar tempatan, Kathimeri melaporkan Setiausaha Kanan Agama Greece, Giorgos Kalantzis berkata, pembukaan masjid itu adalah bukti amalan demokrasi, hormat menghormati dan kebebasan beragama.

Keputusan untuk membina masjid bernilai AS$1.04 juta (kira-kira RM4.3 juta) pada 2006 pernah mendapat tentangan daripada kumpulan tertentu di Greece di samping berdepan masalah birokrasi.

Ia kerana 97 peratus penduduk Greece beragama Kristian.

Namun, masih ada penduduk Muslim walaupun menjadi kaum minoriti yang tinggal di sempadan Greece dan Turki manakala ribuan pekerja dan pelarian Muslim menetap di negara itu.

Sejak 1890, ada banyak usaha untuk membina masjid di Athens.

Beberapa undang-undang sudah digubal untuk membolehkan masjid dibina di ibu negara Greece.

Bagaimanapun, usaha bagi merealisasikan matlamat itu dilaksanakan pada 1934 dan 2004, tetapi ia tidak berjaya.

Dianggarkan, terdapat 300,000 orang Islam di kawasan sekitar Athens yang terpaksa menunaikan solat di bangunan yang digunakan sebagai dewan solat, di samping ruang lain seperti tingkat bawah tanah.

Pada Jun, pihak berkuasa mengarahkan sebuah premis yang paling lama digunakan sebagai dewan solat di ibu negara itu ditutup.

Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 7:18am
d