Eropah

Pedofilia dipenjara seumur hidup

Oleh Agensi

London: Seorang lelaki pedofilia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan minimum 16 tahun bagi kesalahan melakukan penderaan seksual terhadap sembilan kanak-kanak dan remaja perempuan berusia empat hingga 17 tahun.

Daily Star melaporkan, keputusan itu dibuat hakim Mahkamah Isle of Wight Crown, di sini, selepas tertuduh, Jonathan Richard Maertens, 35, mengaku bersalah di atas 34 pertuduhan berasingan terhadapnya.

Ia membabitkan kesalahan memperkosa kanak-kanak bawah 13 tahun, mengambil gambar dan melakukan pelbagai bentuk penderaan seksual terhadap mangsa.

Jurucakap pasukan pendakwaan berkata, selain merakam video, Maertens turut menyunting rakaman sebelum menyimpannya dalam pemacu cakera keras di rumah.

"Setakat ini, tiada bukti menunjukkan rakaman itu disebarkan kepada sesiapa.

"Mahkamah diberitahu alat yang juga bahan bukti itu dirampas ketika pegawai polis bertugas menahan tertuduh dengan waran di rumahnya.

"Dianggarkan 2,500 klip rakaman dan lebih 12,000 gambar tidak senonoh ditemui di dalam pemacu cakera keras," katanya.

Turut ditemui 6,500 video dan 197, 000 gambar mangsa dalam keadaan mengaibkan.

Ketika siasatan dijalankan, pakar daripada pasukan polis mengenal pasti semua mangsa terbabit.

"Agensi kaunseling dipanggil memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Hampshire berkata, Maertens cuba memanipulasi situasi untuk mengambil kesempatan terhadap mangsa.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 7:00am
d