Eropah

UK luluskan vaksin dibangunkan Pfizer

Oleh Agensi

London : United Kingdom (UK) dijangka menggunakan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech yang sudah diluluskan untuk kegunaan umum mulai minggu depan.

Ia menjadikan UK sebagai negara barat pertama yang bakal menggunakan vaksin berkenaan.

Portal The Independent melaporkan, Setiausaha Kesihatan memaklumkan kajian. dijalankan mendapati vaksin itu 95 peratus berkesan dan keutamaan diberi kepada petugas barisan hadapan di sektor kesihatan.

Menteri bertanggungjawab mengendalikan hal vaksin, Nadhim Zahawi, berkata, ia langkah utama dan ke hadapan dalam memerangi Covid-19.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial memberitahu kerajaan menerima saranan dari pengawal selia bebas UK, Agensi Penguatkuasaan Produk Ubat dan Kesihatan (MHRA) yang membenarkan penggunaan vaksin berkenaan.

"Ia sudah diuji secara klinikal selama beberapa bulan dan analisis menyeluruh data oleh ahli MHRA menyimpulkan bahawa vaksin itu memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanannya.

"Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) akan segera memberi nasihat terakhirnya untuk kumpulan utama untuk menerima vaksin, termasuk penghuni rumah jagaan, kakitangan kesihatan dan perawatan, warga emas dan individu berisiko akibat penyakit kronik.

" Mulai minggu depan ,vaksin akan disediakan di seluruh UK," katanya.

Petugas kesihatan berpengalaman dalam memberikan program vaksinasi berskala besar kini melakukan persiapan yang rapi bagi memberi rawatan dan sokongan kepada semua yang memenuhi syarat untuk menerima vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 5:06pm
    d