Eropah

Jual kad vaksin Covid-19 guna TikTok

Oleh Agensi

London: Ketika United Kingdom (UK) memulakan proses pemberian vaksin kepada rakyatnya, ada pihak yang cuba mencari 'untung atas angin' dengan menawarkan kad penerima vaksin Covid-19 di negara itu.

Terbaharu, ada pihak tertentu menggunakan aplikasi TikTok bagi mengiklankan kad vaksin dengan harga serendah 5 pound sterling (RM27) sekeping.

Mengandungi butiran seperti nama penerima, nama vaksin, keluaran dan tarikh diterima, kewujudan iklan kad itu mengundang perdebatan banyak pihak.

The Sun melaporkan, kad palsu itu dikeluarkan pada minggu sama ketika kerajaan UK mula melancarkan program vaksinasi bagi vaksin Pfizer/ BioNTech.

Dengan pilihan dua warna biru dan putih, ia hampir sama dengan kad kesihatan yang diberikan kepada penduduk negara itu.

Ia termasuk pesanan yang meminta penerima 'memastikan' mereka menyimpan kad itu di dalam dompet mereka.

Walaupun nampak seakan-akan sama, ia berbeza dari segi warna dan teks berbanding kad Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) sebenar.

Iklan berkenaan muncul di TikTok, Rabu lalu yang dihubungkan ke halaman Spotify, apabila kad itu dikatakan dapat dibeli.

Bagaimanapun, video dan pautan ke halaman penjualan itu dipadamkan.

Kad itu mengundang kritikan meluas kerana ia membuka ruang kepada aktiviti pasaran gelap jika premis perniagaan seperti pub, teater dan restoran menggunakannya.

Sebelum ini, Polis Antarabangsa (Interpol) memberi peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket yang menawarkan vaksin Covid-19 di platform jualan dalam dan luar talian.

The Guardian melaporkan Interpol mengeluarkan amaran notis jingga kepada 194 ahlinya terdiri daripada pihak berkuasa keselamatan seluruh dunia sebagai amaran untuk bersiap sedia dengan kegiatan terbabit.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 6:30am
d