Eropah

Varian baharu Covid-19 dijangka sebabkan lebih banyak kematian di UK

Oleh AFP

London: Strain Covid-19 yang sudah bermutasi dan menular di Britain adalah 56 peratus lebih mudah berjangkit berbanding dengan strain asal virus itu,

Varian baharu itu menular dengan cepat di tenggara England, dan dijangka akan meningkatkan jumlah individu yang dimasukkan ke hospital dan angka kematian, pada tahun depan.

Ia berdasarkan unjuran yang dibuat oleh sebuah pusat kajian di London School of Hygiene and Tropical Medicine.

Kumpulan penyelidik yang memfokuskan kepada tenggara dan London berkata, belum dapat dipastikan sama ada virus mutasi itu lebih berbahaya daripada strain sedia ada.

"Bagaimanapun, dijangka akan berlaku peningkatan jumlah jangkitan dengan individu dimasukkan ke hospital dan angka kematian pada 2021, berbanding 2020, meskipun kawalan pergerakan yang berkuat kuasa sebelum 19 Disember dilanjutkan," kata penyelidik dalam kajian berkenaan.

Mereka juga memberi amaran bahawa sekatan pergerakan (lockdown) tidak akan membantu mengekang penularan strain baharu itu tanpa penutupan sekolah, sekolah menengah dan universiti.

Sebelum ini, Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson memberi amaran bahawa varian baharu Covid-19 itu adalah 70 peratus lebih mudah berjangkit berbanding strain asal virus itu.

Susulan perkembangan itu, banyak negara mula menguatkuasakan larangan kemasukan individu dari UK, namun arahan itu sudah mula dilonggarkan oleh negara-negara Kesatuan Eropah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 25, 2020 @ 9:19am
    d