Eropah

Transformasi selama sedekad

Oleh Agensi

London: Seorang pemuda di United Kingdom (UK) menarik perhatian pengikutnya dan pengguna Twitter selepas berkongsi video mengandungi gambar swafoto yang diambilnya setiap hari sejak 10 tahun lalu.

Hindustan Times melaporkan video dimuat naik dalam bentuk timelapse itu menunjukkan gambar swafoto Niall Gray sejak usia 14 hingga 24 tahun.

"Saya mengambil swafoto setiap hari sejak 10 tahun lalu. Ini (gambar) saya sejak berusia 14 hingga 24 tahun," ciapnya di Twitter pada 2 Januari lalu.

Sehingga kini, video berdurasi dua minit 20 saat itu meraih 154,000 tontonan.

Perkongsian video itu juga meraih lebih 6,600 tanda suka dan 343 ulang ciap oleh warganet.

Selain itu, pelbagai komen positif diterima Gray selepas memuat naik video berkenaan.

"Saya sukakannya, terima kasih atas perkongsian," ciap seorang warganet.

"Idea yang hebat, tahniah. Saya tidak sabar melihat transformasi daripada umur 34 hingga 44 tahun," kata seorang pengguna.

Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 6:30am
d