Eropah

'Berjuang ' nak buktikan hidup lagi

Paris: Seorang wanita Perancis berusia 58 tahun terpaksa 'berjuang' di mahkamah bagi membuktikan status dirinya bukan individu yang meninggal dunia.

Dia secara tidak sah diisytiharkan meninggal dunia selepas terbabit perselisihan faham dengan bekas pekerjanya.

Laporan kematian Jeanne Pouchain menjadi perhatian selepas AFP menemui mangsa di rumahnya di bandar Saint-Joseph, dekat Lyon.

Pouchain sedang berusaha membuktikan dia masih hidup, sejak mahkamah tenaga kerja menyenaraikannya sebagai orang yang sudah meninggal dunia pada November 2017.

Maklumat salah itu dilakukan oleh bekas pekerjanya ketika dia mengusahakan perniagaan perkhidmatan pembersihan.

Perselisihan faham itu berpunca apabila pekerja itu tidak berpuas hati akibat dipecat.

Kompas melaporkan kes itu ternyata menghuru-harakan hidup Pouchain apabila dia 'dihapuskan' daripada rekod rasmi, kehilangan kad pengenalan, kad SIM telefon, akaun bank dan insurans kesihatan.

Pouchain menuduh bekas pekerjanya memalsukan kematiannya untuk menuntut ganti rugi daripada warisnya iaitu suami dan anak lelakinya.

Pekerja itu bertindak sedemikian selepas dua kali gagal dalam percubaan menuntut haknya daripada Pouchain.

"Ini cerita gila," kata peguam Pouchain, Sylvain Cormier, kepada AFP.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 6:31am
d