Eropah

Pelitup muka fabrik masih boleh kekang penularan Covid-19: WHO

Oleh AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak bercadang untuk menukar garis panduan berhubung pemakaian pelitup muka fabrik, susulan penularan varian baharu Covid-19.

Ia memandangkan varian itu menular dengan cara yang sama dengan varian sedia ada.

Jerman dan Austria sebelum ini menguatkuasakan secara mandatori pemakaian pelitup muka perubatan di pengangkutan awam dan di kedai, berbanding pelitup muka fabrik susulan kebimbangan penularan varian baharu Covid-19.

Ketua pasukan teknikal WHO, Maria Van Kerkhove berkata, beberapa varian baharu mungkin lebih cepat menular, tetapi 'berdasarkan kajian di Britain dan Afrika Selatan, tiada bukti bahawa cara penularannya sudah berbeza'.

WHO menasihatkan pemakaian pelitup muka bukan perubatan, diperbuat daripada fabrik boleh digunakan oleh orang awam berusia 60 tahun dan ke bawah dan mereka yang tidak mempunyai penyakit.

Bagaimanapun, ia menasihatkan pemakaian pelitup muka perubatan kepada petugas kesihatan, mereka yang tidak sihat, individu yang menunggu keputusan Covid-19, sudah disahkan atau mereka yang menjaga pesakit yang disyaki positif atau masih menunggu keputusan ujian.

Ia juga disyorkan untuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas atau mereka yang mempunyai penyakit memandangkan golongan ini berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

Van Kerkhove berkata, ia bagaimanapun tertakluk kepada mana-mana negara untuk menguatkuasakan peraturan berhubung perkara itu mengikut langkah yang difikirkan bersesuaian.

"Kami akan terus memantau bukti daripada kajian membabitkan data di negara dengan varian baharu ini dan akan membuat sebarang perubahan sewajarnya, jika perlu," katanya dalam sidang media secara maya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 9:15am
    d