Eropah

Pembedahan 14 jam catat sejarah

Oleh Agensi

Paris: Seorang lelaki Iceland mencipta sejarah dunia apabila menjalani pembedahan transplan dua lengan pada masa yang sama.

Guomundur Felix Gretarsson, 48, menjalani pembedahan sukar selama 14 jam itu di sebuah hospital di bandar Lyon, Guomundur Felix Gretarsson sebelum ini kehilangan kedua-dua lengan, kira-kira dua dekad lalu.

Ia ketika lelaki itu hanya berusia 26 tahun selepas dia mengalami kejutan voltan tinggi ketika bekerja dekat dengan Reykjavík.

Ketika ini, doktor sedang memantau proses pemulihannya.

Ia termasuk memastikan tubuh lelaki itu memberi tindak balas yang baik terhadap lengan baharunya.

Keadaan Guomundur dilaporkan stabil dan dia ditempatkan di unit rawatan rapi di hospital berkenaan.

Bagaimanapun, tempoh tiga tahun diperlukan untuk menentukan sama ada prosedur itu benar-benar berjaya.

Ia termasuk sama ada lelaki itu dapat menggunakan tangannya itu seperti individu lain.

Sehingga kini, sarafnya masih belum dapat memasuki lengan baharunya itu.

Dalam pada itu, bapa kepada Guomundur Gretar Felix Felixson memberitahu media bahawa tempoh beberapa hari selepas pembedahan itu adalah amat penting.

Disiarkan pada: January 25, 2021 @ 6:30am
d