Eropah

Cipta rekod perenang ais tertua dunia

Oleh Agensi

Dublin: Seorang warga emas lelaki di Ireland memegang rekod dunia sebagai perenang ais tertua dunia.

Ger Purcell dari Corbally, Limerick memecah rekod itu ketika berenang dalam air pada suhu 4.93 darjah Celsius di Shannon Rowing Club, 30 Januari lalu.

Dia menggunakan masa terluang untuk berlatih ketika perintah berkurung beberapa bulan lalu untuk menyertai cabaran jarak-ais yang mengenakan syarat berenang tanpa henti dalam keadaan suhu air kurang dari lima darjah Celsius.

Cubaan Purcell berjaya apabila dia mencatatkan masa 43 minit dan 28 saat dan diiktiraf Guinness World Records.

Purcell berkata, dia gembira meraih pencapaian itu walaupun pernah dinasihatkan menjalani latihan lebih lama sebelum menyertai cabaran itu.

"Ini kali pertama saya menyertainya jadi saya dinasihatkan berlatih untuk setahun lagi.

"Tetapi, pada usia saya 66 tahun dan tahun depan masuk 67 tahun, saya rasa inilah masa sesuai untuk saya menyertainya," katanya kepada RTÉ News.

Katanya, dia merancang membuka semula pusat renang di Corbally yang terkenal di Limerick pada 1980. - Agensi

"Ketika muda saya banyak belajar berenang di sana. Jadi saya niat untuk membangunkan dan membuka semula pusat itu untuk perenang generasi baharu di Limerick," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 7:30am
d