Eropah

Rumah 'hanyut' Perancis

Oleh Agensi

Paris: Sekilas pandang, orang mungkin menyangka sebuah rumah tersergam indah yang terkenal di Nante, Perancis ini dihanyutkan banjir.

Namun, rumah dikenali sebagai La maison dans la Loire yang bermaksud rumah di Sungai Loire itu sebenarnya memang dibina di kawasan berkenaan. Ia adalah hasil karya seni seorang seniman Perancis dikenali sebagai Jean-Luc Courcoult.

Ia dibina sebagai antara karya unik untuk Pameran Seni Estuaire pada 2007 yang mengambil inspirasi keindahan Lembah Loire dan kawasan muara sungai berkenaan.

Rumah itu sebenarnya adalah replika kepada sebuah rumah penginapan di Lavau-Sur-Loire yang kini sudah dijadikan sebagai kedai penkek.

Pada mulanya, replika itu diletakkan di tebing kanan Sungai Loire.

Tetapi arus kuat dan paras pasang surut menyebabkan bangunan itu dibawa arus menghampiri ke sebelah kiri tebing.

Bagi memastikan rumah itu tidak lagi hanyut, ia 'dipasak' ke dasar Sungai Loire.

Rumah itu kelihatan aneh kerana lokasi kedudukannya yang berbeza daripada kediaman lain.

Selain itu, ia agak menyeramkan pada waktu malam apabila bunyi terhasil daripadanya tingkap terutama ketika angin kuat.

Satu perkara masih menjadi misteri apabila lampu di sebuah bilik di dalam rumah terbiar itu dikatakan sering bernyala pada waktu malam.

Ia sekali gus menjadi tanda tanya kepada ramai orang.

Ketika ini, ia menjadi tarikan pelancong ke kawasan berkenaan kerana keunikannya sebagai rumah di tengah-tengah sungai.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 6:31am
d