Eropah

Udara segar pantai RM430 sebotol

Oleh Agensi

London: Sebuah syarikat berpangkalan di United Kingdom (UK) mencipta kontroversi di dalam talian menerusi jualan botol kaca berisi udara segar dari pesisir pantai dengan harga AS$105 (kira kira RM430) setiap satu.

Oddity Central melaporkan syarikat Coast Capture Air pada mulanya menyasarkan jualan kepada mereka yang berminat menjadikannya cenderahati selain memberi kesedaran mengenai kepentingan udara bersih.

Namun, permintaan diterima meningkat hingga menarik perhatian ramai individu terutama dari kawasan tercemar yang sanggup membelinya untuk mendapat kesegaran harian.

Coast Capture Air dalam kenyataan memaklumkan kakitangannya berusaha keras memastikan mereka hanya membekalkan botol udara pantai terbaik di seluruh Cornwall.

"Setiap botol kaca khas Coast Capture Air berisi udara pesisir segar terus dari garis pantai semula jadi dan semula jadi di Great Britain.

"Lokasi pengambilan udara pilihan kami di luar bandar iaitu kawasan tidak tercemar oleh manusia atau jentera, terpencil dan sukar dijejaki.

"Jadi, produk kami sangat berkualiti dan luar biasa kerana sumbernya dari Hartland Point, Pantai Cornish, Great Britain.

"Kami menempuh jarak panjang di Great Britain dan mengunjungi kawasan terpencil dengan keindahan semula jadi luar biasa. Daripada situ, kita dapat mengambil udara paling bersih," katanya.

Coast Capture Air turut memaklumkan banyak faktor membezakan syarikatnya dengan yang lain.

"Kami memantau dan mengukur setiap botol digunakan.

"Kami guna peralatan sangat sensitif untuk memastikan kebersihan dan kualiti udara dalam setiap botol," katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2021 @ 6:31am
d