Eropah

Anak saman ibu bapa seumur hidup

Oleh Agensi

London: Bekas peguam, Faiz Siddiqui memfailkan kes di mahkamah bagi menuntut ibu bapanya yang kaya untuk menampung perbelanjaannya seumur hidup.

The Sun UK melaporkan Faiz, 41, adalah lulusan Universiti Oxford dan pernah berkhidmat sebagai peguam di beberapa firma guaman sehingga 2011.

Sejak menganggur, Faiz bergantung sepenuhnya dengan ibu bapanya yang menetap di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bukan setakat itu, Faiz juga dibenarkan tinggal percuma di apartmen bernilai AS$1.4 juta (kira-kira RM5.8 juta) milik ibu, Rakshanda, 69, dan bapanya, Javed, 71, berhampiran Hyde Park di tengah bandar London.

Ibu bapa Faiz juga yang membayar semua bil dan turut memberi wang belanja mingguan AS$550 (kira-kira RM2,266) namun memotong elaun itu selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

"Ibu bapanya sudah lama bertahan dan tahu apa yang terbaik untuk anak mereka serta boleh membezakan antara keperluan dan kehendak," kata Justin Warshaw QC, peguam bela yang mewakili ibu bapa kepada Faiz.

Ini bukan kali pertama Faiz menjadi tajuk utama berita antarabangsa kerana pada 2018, lelaki itu turut memfailkan saman terhadap Universiti Oxford.

Tindakan itu dilakukan kerana Faiz mendakwa institusi itu menghalangnya daripada memperoleh ijazah kelas satu dan ia mempengaruhi kerjayanya sebagai peguam.

Dia membuat tuntutan sebanyak AS$1.4 juta (kira-kira RM5.8 juta) dalam permohonan itu, tetapi ia ditolak oleh mahkamah.

Menurut rekod, Faiz pernah memfailkan satu tuntutan sama terhadap ibu bapanya tahun lalu, tetapi permohonan itu ditolak oleh mahkamah keluarga.

Difahamkan, Faiz bukan individu pertama yang melakukannya.

Ini kerana terdapat kes membabitkan ibu bapa memfailkan tuntutan terhadap anak mereka yang dewasa kerana enggan berpindah keluar dari rumah keluarga.

Disiarkan pada: March 12, 2021 @ 6:31am
d