Eropah

Lelaki diarah tinggalkan pulau selepas 32 tahun

Oleh Agensi

Rom: Seorang lelaki warga emas menghabiskan separuh hidupnya menetap bersendirian di Pulau Budelli, Sardinia, Itali sejak 32 tahun lalu.

Namun, dia kini terpaksa akur meninggalkan tempat tinggalnya itu selepas menerima tekanan daripada pihak berkuasa tempatan.

Dikenali sebagai 'Robinson Crusoe' Itali selepas menetap di kepulauan itu sejak 1989, Mauro Mauro Morandi, 81, mengesahkan bakal meninggalkan tempat itu menerusi Facebook, Ahad lalu.

"Saya akan tinggalkan tempat ini. (Harap) Budelli akan dilindungi dan dijaga seperti yang saya lakukan selama 32 tahun," katanya dalam CNN.

Katanya, dia merancang memulakan hidup baharu dengan menetap di sebuah apartmen kecil di pulau berdekatan, La Maddalena.

"Hidup saya tidak akan banyak berubah. Saya masih boleh melihat lautan," katanya kepada The Guardian.

Sebelum ini dilaporkan, bekas guru itu terpesona dengan keindahan Budelli selepas ketika dalam pelayarannya dari Itali ke Polinesia.

Dia memutuskan menetap di pulau itu dan mula menjadi penjaga pulau berkenaan, sejak itu.

Bagaimanapun, keberadaannya di situ tidak disenangi selepas Taman Negara La Maddalena mengambil alih pentadbiran Budelli pada 2015.

Sejak itu, warga emas itu kerap diancam kerana dia didakwa tidak mempunyai hak menetap di pulau itu.

Pada Januari tahun lalu, Presiden Taman Negara La Maddalena, Fabrizio Fonnesu berkata, pihak berkuasa tiada pilihan terpaksa masuk campur mengenai pembangunan haram dilakukan di pulau itu termasuk pondok buatan Mauro.

"Tak ada siapa yang menghalau dia, tetapi apa hak dia untuk tinggal di situ kerana pulau itu bukan lagi pulau persendirian.

"Jika ada keperluan memerlukan khidmatnya sebagai penjaga pulau ini, kita akan pertimbangkan, tetapi apabila kerja-kerja membersihkan pembangunan haram di sini, dia harus pergi," katanya kepada CNN.

Disiarkan pada: May 6, 2021 @ 2:01pm
d