Eropah

Video tular rekod 880 juta tontonan dilelong

Oleh Agensi

London: Selepas 14 tahun dimuat naik, video paling tular di YouTube, 'Charlie bit my finger' akan dilelong pemiliknya sebagai token non-fungible (NFT), mulai esok.

Video ikonik yang kini sudah ditonton 880 juta pengguna itu berkisar mengenai dua beradik, Charlie yang menggigit jari abangnya, Harry di rumah mereka di United Kingdom pada 2007 dan sempat dirakam bapa mereka, Howard.

Howard memuat naik video itu ke YouTube kerana tidak dapat menghantar e-mel kepada ibu bapa pembastian (godparent) mereka di Amerika Syarikat.

Kini, video itu bakal dikeluarkan dari YouTube dan dilelong sebagai token non-fungible (NFT).

NFT adalah sijil digital unik yang menyatakan siapa yang memiliki foto, video atau sebarang bentuk media dalam talian lain.

Setiap NFT adalah unik dan menjadikannya tidak dapat ditiru.

Laman web keluarga itu memberitahu, video klip itu pada mulanya dirakam sebagai satu daripada merakam detik mereka sedang membesar dan tanpa sengaja ia menjadi tular.

Katanya, ini masa yang tepat untuk kanak-kanak itu yang kini berusia 15 dan 17 tahun memanfaatkan internet.

"Ini bukan pengakhiran untuk video itu, tetapi permulaan yang baru," kata laman itu seperti dipetik BBC News.

Laman itu turut berkata, mereka yang bertuah memenangi lelongan NFT itu turut berpeluang mencipta video parodi sendiri dengan penampilan khas Harry dan Charlie.

Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 9:59am
d