Eropah

Korban banjir di Jerman meningkat 105 orang

Oleh BERNAMA

Berlin: Jumlah korban akibat banjir di barat Jerman meningkat kepada 105 orang pada Jumaat, menurut Anadolu memetik pegawai di Rhineland-Palatinate.

Bencana banjir itu adalah yang terburuk sejak lebih 200 tahun, menyaksikan banyak rumah dihanyutkan dan bandar serta kampung di wilayah barat terjejas teruk.

Pegawai tempatan berkata hampir 1,300 orang di daerah Ahrweiler dilaporkan masih hilang tetapi angka sebenar belum dapat disahkan kerana banjir telah menyebabkan bekalan elektrik terputus dan sistem telekomunikasi terganggu.

Lebih 360 orang cedera di daerah itu, menurut polis.

Anggota mencari dan menyelamat berdepan kesukaran berikutan curahan hujan yang melampau sehingga mencecah 148 liter (39 gelen) per meter persegi dalam masa 48 jam.

Helikopter digunakan untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas di jalanan, di atas pokok dan bumbung.

Pihak berkuasa di Rhineland-Palatinate memberi amaran bahawa paras air di sungai Rhine dan Moselle dijangka melimpah.

Selain itu, pengangkutan awam turut terjejas memaksa perkhidmatan kereta api dan bas dibatalkan.

Disiarkan pada: July 17, 2021 @ 12:00pm
d