Eropah

Waris MH17 beri keterangan di mahkamah, bermula hari ini

Oleh Agensi

Amsterdam: Kira-kira 90 ahli keluarga kepada 298 mangsa pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014, akan memberi keterangan di mahkamah di sini, bermula Isnin.

Prosiding untuk tujuan itu dijangka akan mengambil masa tiga minggu.

Menurut NL Times, ada antara waris akan di mahkamah, selebihnya akan memberi keterangan menerusi panggilan video kerana tidak dapat menghadiri prosiding berkenaan

Selain itu, ratusan lagi akan menulis keterangan yang akan dikemukakan dalam kes berkenaan.

Difahamkan, ada kalangan mereka akan menunjukkan foto dan video mangsa atau membawa barangan peribadi yang akan dikemukakan di mahkamah.

Peguam yang mewakili 150 waris kepada mangsa, Arlette Schijns berkata, keterangan waris itu bagi menunjukkan kepada mahkamah dan dunia mengenai impak tragedi itu.

Pesawat MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila dibedil peluru berpandu darat ke udara buatan Rusia, menurut penyiasat serta pendakwa antarabangsa.

Tiga rakyat Rusia dan seorang warga Ukraine yang disyaki memainkan peranan utama dalam kumpulan pemisah kini dibicarakan atas tuduhan bunuh.

Mereka ialah bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB) Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera agensi Tentera Russia (GRU) Sergey Dubinskiy; bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko dari Ukraine.

Moscow enggan mengekstradisi mereka yang berada di Rusia, selain menafikan bertanggungjawab seperti didakwa oleh kerajaan Belanda.

Kapal terbang itu terhempas di sebuah padang dalam wilayah dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia yang menentang tentera Ukraine.

Selepas menghimpunkan bukti selama beberapa tahun, pada Mei 2018 sepasukan penyiasat antarabangsa menyimpulkan bahawa pelancar yang digunakan untuk menembak peluru berpandu berkenaan adalah milik Briged ke-53 Peluru Berpandu Antipesawat Rusia.

Disiarkan pada: September 6, 2021 @ 6:45pm
d