Eropah

Jual rumah RM4.83

Oleh Agensi

Rom: Pratola Peligna di wilayah Abruzzo, Itali, kini tersenarai dalam projek skim jualan rumah murah bernilai 1 Euro (RM4.83).

Terletak di Pergunungan Apennine, berdekatan dengan beberapa kawasan ski terbaik di Itali, Pratola Peligna adalah daerah terpencil penuh dengan tinggalan hartanah terbiar dan terbengkalai.

Ia sebelum ini terkesan dengan beberapa siri gempa bumi termasuk paling kuat yang menghancurkan bandar berdekatan, L'Aquila pada 2009.

Sama seperti kebanyakan perkampungan dan bandar lain yang menjual rumah murah di Itali, Pratola Peligna mengalami penurunan penduduk yang mendadak.

Pada 1930-an, jumlah penduduk dianggarkan 13,000 namun pegawai tempatan mendakwa, kini hanya 7,000 orang bertahan di situ.

Banyak rumah terbiar ditinggalkan oleh keluarga yang mencari masa depan lebih cerah di tempat lain.

Penduduk yang kekal masih berharap supaya pihak berkuasa tempatan akan segera 'menghidupkan' kembali kawasan itu.

Menjelang pelancaran penjualan rumah 1 Euro itu, ahli majlis tempatan, Paolo Di Bacco berkata, pihaknya terpaksa mengenal pasti kediaman yang ditinggalkan dan cuba menghubungi pemiliknya.

"Ia tugas yang mencabar. Kami berusaha beberapa tahun, mengenal pasti rumah yang sesuai yang belum terbabit dalam pembinaan semula selepas gempa bumi untuk dimasukkan dalam skim ini," katanya kepada CNN Travel.

Katanya, 250 daripada 630 bangunan dan rumah kosong akan dijual dengan nilai berkenaan.

"Matlamat kami untuk mengembalikan semula keindahan dan memulihkan kawasan ini," katanya.

Tidak seperti bandar lain yang menjalankan projek skim sama, pembeli Pratola Peligna dikecualikan membayar wang pendahuluan €5,000 (RM24,125) bagi menjamin mereka mengubah suai rumah itu.

Namun, sebagai gantinya, mereka akan dikenakan denda €10,000 (RM48,250), jika gagal mendaftarkan rancangan terperinci kerja pemulihan bangunan dalam tempoh enam bulan.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 6:40am
d