Eropah

Peranti AI semak kesahihan Kod QR

Oleh BERNAMA

Moscow: Pakar dari syarikat kecedasan buatan (AI) Rusia, Addreality membangunkan peranti yang boleh memeriksa kesahihan kod QR mereka yang menerima vaksin COVID-19 atau mereka yang sebelum ini dijangkiti virus berkenaan, lapor Sputnik memetik kenyataan akhbar syarikat itu.

"Peranti itu akan mengimbas kod QR dan memeriksa kesahihannya menerusi penyelesaian tunggal saringan Kod QR persekutuan yang dicadangkan Kementerian Pembangunan Digital, Komunikasi dan Media Massa.

"Peranti ini akan mengesahkan Kod QR, mengesan pelitup muka pengguna, serta mengalu-alukan pengguna yang melawat tempat awam," menurut kenyataan media syarikat itu.

Ia mengandungi satu skrin, sebuah kamera yang mempunyai ciri pengecaman wajah serta sebuah komputer mikro, jelas Addreality. Selain fungsi mengimbas Kod QR, peranti itu boleh juga dilengkapi dengan algorithma untuk mengesahkan pasport serta dokumen lain.

Peranti itu dijangka akan mula diletakkan di restoran, lapangan terbang, pawagam, kompleks beli-belah dan kilang, tidak lama lagi.

"Penyelidik yang membangunkan peranti ini menjelasan perisian yang digunakan untuk proses pengesahan dokumen tidak akan memindahkan data peribadi pelawat kepada pihak ketiga," menurut syarikat itu.

Moscow pada 28 Oktober lalu mengisytiharkan perintah sekatan pergerakan separa selama seminggu berikutan peningkatan kes Covid-19. Pada 30 Okt St. Petersburg dan bandar raya lain turut dikenakan sekatan pergerakan.

Pada Selasa, Rusia melaporkan 39,008 kes baharu COVID-19, turun daripada 40,402 pada hari sebelumnya. Ekoran sekatan pergerakan itu, pihak berkuasa tempatan akan menguatkuasakan arahan imbasan Kod QR sebelum memasuki pawagam dan muzium.

Disiarkan pada: November 3, 2021 @ 4:51pm
d