Eropah

2.2 bilion penduduk dunia obes

Oleh AFP

Paris: Hampir separuh populasi dunia berdepan masalah kekurangan nutrisi yang dikaitkan dengan tabiat makan berlebihan atau kekurangan makanan.

Menurut Laporan Nutrisi Global (GNR), 48 peratus individu ketika ini makan terlalu banyak atau terlalu kurang menyebabkan masalah berlebihan berat badan, obesiti atau kurang berat badan.

Mengikut kadar semasa, laporan itu mendapati, dunia akan gagal mencapai lapan daripada sembilan sasaran nutrisi yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjelang 2025.

Ia termasuk masalah kanak-kanak kurang berat badan (terlalu kurus berbanding ketinggian) dan masalah bantut (terlalu rendah untuk usia mereka), selain masalah obesiti dewasa.

Laporan itu menganggarkan hampir 150 juta kanak-kanak berusia kurang lima tahun memiliki berat badan kurang, dengan lebih 45 juta (bantut) dan hampir 40 juta (berat badan berlebihan).

Ia juga mendapati lebih 40 peratus dewasa (2.2 bilion individu) berdepan masalah obesiti.

"Kematian yang boleh dielakkan berpunca daripada diet tidak sihat meningkat 15 peratus sejak 2010 dan ketika ini diet seumpama itu menyebabkan lebih satu per empat kematian dalam kalangan dewasa," kata Pengerusi Kumpulan Pakar Bebas GNR, Renata Micha.

Katanya, dalam tempoh 10 tahun, diet yang diamalkan kebanyakan individu tidak berubah dan ia kini menjadi ancaman utama kepada kesihatan dan planet.

Tahun ini, GNR melihat diet global dan cara pilihan makanan yang mempengaruhi manusia dan planet ini.

Ia mendapati orang ramai gagal mengambil makanan yang menggalakkan kesihatan yang mencukupi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, terutamanya di negara berpendapatan rendah.

Negara berpendapatan tinggi mempunyai kadar pengambilan tertinggi bagi makanan berbahaya seperti daging merah, tenusu dan minuman manis.

Laporan itu mendapati, pengambilan makanan berbahaya semakin meningkat, dengan pengambilan daging merah dan makanan diproses hampir lima kali ganda daripada cadangan maksimum satu hidangan seminggu.

Laporan itu menyatakan bahawa sasaran pemakanan global semasa tidak menyebut diet, kecuali mengehadkan natrium, dan mengesyorkan sasaran baharu yang lebih holistik.

"Sains menyokong pendekatan berasaskan makanan atau pendekatan pola diet dalam menilai kesan terhadap kesihatan dan alam sekitar," kata Micha.

Disiarkan pada: November 23, 2021 @ 6:14pm
d