Eropah

3 mayat hangus dalam bangunan

Oleh AFP

Honiara: Tiga mayat hangus ditemukan dalam bangunan yang terbakar di ibu negara, Pulau Solomon, kematian pertama dilaporkan selepas rusuhan berhari-hari, kata polis Sabtu.

Mayat berkenaan ditemukan di sebuah kedai di daerah Chinatown, di sini, dengan seorang pengawal keselamatan memberitahu AFP dia menemui mayat di dalam dua bilik, lewat Jumaat.

Polis berkata, pasukan forensik sudah melakukan siasatan dan masih berada di lokasi kejadian, namun punca kematian belum dapat dipastikan.

Jalan di ibu negara masih agak lengang pada pagi Sabtu ketika penduduk tempatan mula melihat dan menilai kerosakan akibat rusuhan berhari-hari.

Perintah berkurung dilaksanakan ke atas ibu kota itu semalaman, selepas tiga hari keganasan berlaku yang menyaksikan rumah perdana menteri diserang dan sebahagian besar bangunan runtuh akibat terbakar.

Pasukan pengaman Australia, yang tiba di negara itu lewat Khamis, turut menyertai polis di jalanan untuk memulihkan keadaan dan melindungi infrastruktur kritikal.

Keganasan itu berlaku akibat perasan tidak puas hati dan kekecewaan terhadap kerajaan Perdana Menteri Manasseh Sogavare dan pengangguran kronik yang diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19.

Pakar mengatakan, krisis juga berpunca daripada permusuhan berpanjangan antara penduduk pulau paling ramai iaitu Malaita dan kerajaan pusat di Pulau Guadalcanal.

Negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 700,000 penduduk itu mengalami ketegangan etnik dan politik sejak berdekad lalu.

Penduduk Malaita mendakwa pulau mereka diabaikan kerajaan pusat, lebih memburukkan keadaan apabila Sogavare mengiktiraf Beijing pada 2019.

Disiarkan pada: November 27, 2021 @ 1:31pm
d