Eropah

Doktor, jururawat hadiri parti Krismas positif Covid-19 [METROTV]

Oleh Agensi

Madrid: Hampir 70 petugas kesihatan yang menghadiri parti Hari Natal di selatan Sepanyol disahkan positif Covid-19.

Pihak berkuasa kesihatan memaklumkan kebanyakan daripada 68 petugas itu adalah doktor dan jururawat yang berkhidmat di unit rawatan rapi di hospital daerah Málaga.

Mereka dilapor menyertai parti itu yang dihadiri 170 orang pada Rabu minggu lalu.

Semua kakitangan berkenaan sudah lengkap vaksinasi dan tidak menunjukkan sebarang simptom.

Media tempatan melaporkan pegawai perubatan dan jururawat dari hospital lain di Andalusia terpaksa dihantar ke hospital itu untuk menggantikan tugas kakitangan berkenaan.

Situasi semasa pandemik meningkatkan kebimbangan terhadap risiko penularan virus dalam acara sosial terutama ketika sambutan Krismas.

Bagi mengekang risiko itu, pihak berkuasa di Andalusia menegah kakitangan hospital daripada menghadiri parti Hari Natal.

Pada Isnin, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sánchez menggesa penduduk supaya lebih berhati-hati dengan Covid-19 sepanjang bercuti.

"Kita tidak boleh melonggarkan kawalan kita," katanya.

Seperti kebanyakan negara Eropah lain, Sepanyol turut merekodkan tambahan kes Covid-19 dalam beberapa minggu kebelakangan ini, yang dibimbangi berlakunya gelombang keempat ketika menghampiri musim sejuk. Sepanyol merekodkan keseluruhan 5.1 juta kes Covid-19 dan 88,000 kematian sejak pandemik bermula, dua tahun lalu.

Disiarkan pada: December 8, 2021 @ 12:15pm
d