Eropah

Covid-19: 100,000 kes baharu di UK

Oleh AFP

London: Pihak berkuasa United Kingdom (UK), pada Rabu, meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer untuk digunakan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Negara itu kini melaporkan 100,000 kes harian baharu buat kali pertama sejak varian Omicron dikesan.

Perkembangan terbaharu itu berlaku selepas kerajaan mengurangkan tempoh kuarantin untuk kes positif dan Wales mengikut Scotland melakukan sekatan untuk pesta sambutan Hari Natal terutamanya membabitkan perkumpulan ramai dan acara besar.

Agensi Kawal Selia Produk Ubat-ubatan dan Kesihatan dan Perubatan (MHRA) UK berkata, pihaknya sudah meluluskan dos formulasi rendah Pfizer selepas mengesahkan ia selamat dan efektif untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Ketua Eksekutif MHRA, June Raine berkata, terdapat bukti yang menyokong keputusan itu dan ia memberikan kebaikan kepada kanak-kanak usia berkenaan.

Katanya, kesan sampingan utama yang dilaporkan daripada dua suntikan adalah gejala ringan, seperti sakit lengan atau selesema.

Pihak berkuasa mengumumkan 106,122 kes baharu Covid-19 dilaporkan pada Rabu.

Disiarkan pada: December 23, 2021 @ 10:16am
d