Eropah

Pemimpin termuda di dunia

Oleh AFP

Paris: Beberapa negara kini dilihat mula memilih 'orang muda' untuk mengemudi pentadbiran.

Sebelum ini, landskap pentadbiran dunia di kebanyakan negara akan melantik ahli politik 'senior' sebagai pemimpin utama.

Gabriel Boric, baru-baru ini, dipilih menjadi Presiden Chile termuda pada usia 35 tahun dan menjadikannya pemimpin negara termuda di dunia.

Namun, gelaran untuk pemimpin termuda dunia kini dipegang Giacomo Simoncini, 26, yang menjadi Captain Regent (ketua negeri) San Marino, sebuah negeri di utara Itali.

Di Finland, negara itu melantik Sanna Marin sebagai Perdana Menteri ketika beliau berusia 34 tahun pada 2019.

Minggu lalu, beliau mencetus kontroversi apabila pergi ke sebuah kelab malam, meskipun selepas menjadi kontak rapat dengan seorang pesakit Covid-19.

Vjosa Osmani pula menjadi Presiden wanita bagi Kosovo pada April lalu, ketika berusia 38 tahun, manakala Perdana Menteri Georgia Irakli Garibashvili mengambil alih kuasa Februari lalu pada usia sama.

Nayib Bukele, 40, menjadi Presiden El Salvador ketika berusia 37 tahun, manakala bekas Menteri Keadilan Xavier Espot Zamora menjadi ketua kerajaan Andorra dua tahun lalu pada usia 39 tahun.

Andorra adalah wilayah yang terletak di antara Perancis dan Sepanyol.

Carlos Alvarado, wartawan dan bekas Menteri Sumber Manusia memenangi pilihan raya dan dipilih menjadi Presiden Costa Rica ketika berusia 38 tahun pada Mei 2018.

Bagi New Zealand, pemimpin wanita dilantik sebagai Perdana Menteri apabila Jacinda Ardern yang ketika itu berusia 37 tahun diberi tanggungjawab menggalas tugas berkenaan pada Oktober 2017.

Leo Varadkar, menjadi Perdana Menteri Ireland paling muda ketika usianya mencecah 38 tahun pada Jun 2017.

Dia kini berkongsi kuasa sebagai timbalan ketua kepada kerajaan gabungan sebelum kembali berkuasa tahun depan.

Pegawai bank pelaburan Emmanuel Macron menjadi Presiden Perancis ketika berusia 39 tahun pada Mei 2017.

Selain itu, ada pemimpin muda lain tidak dipilih mengikut sistem demokrasi.

Antaranya, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, 37 dan Mahamat Idriss Deby Itno, 37, bagi Chad, yang mengambil alih tampuk pentadbiran daripada bapa yang meninggal dunia.

Selain itu, Assimi Goita, 38, ketua junta tentera di Mali.

Bagi kerajaan monarki, Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani mengambil alih kuasa pada usia 41 tahun, manakala Jigme Khesar Namgyel Wangchuck menjadi Raja Bhutan selepas menaiki takhta pada usia 26 tahun, lima tahun lalu.

Disiarkan pada: December 25, 2021 @ 6:50am
d