Eropah

Mahkamah Kanada perintah Iran bayar pampasan

Oleh AFP

Ottawa: Mahkamah Kanada memutuskan Iran perlu membayar pampasan lebih CAN$100 juta (kira-kira RM329 juta) kepada keluarga enam orang yang maut selepas sebuah pesawat penumpang Ukraine ditembak jatuh di Tehran, dua tahun lalu.

Dalam kejadian pada 8 Januari 2020 itu, pihak berkuasa Iran menembak jatuh pesawat PS752 milik Ukraine International Airlines, sejurus selepas ia berlepas dari Tehran.

Kejadian mengakibatkan semua 176 orang, termasuk 85 warga Kanada dan penduduk tetapnya terbunuh, lapor AFP.

Tiga hari kemudian, angkatan tentera Iran mengakui secara salah menembak jatuh pesawat yang menuju ke Kiev itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Ontario, Edward Belobaba memutuskan kepada plaintif, lebih daripada CAN$107 juta (kira-kira RM351 juta), menurut laporan beberapa media termasuk saluran CBC.

Pada bulan Mei, hakim sama membuat kesimpulan bahawa Iran melakukan tindakan 'pengganas' dengan menembak jatuh pesawat Ukraine, membuka ruang untuk tuntutan pampasan daripada keluarga mangsa.

Tehran mengecam keputusan itu mengatakan ia 'tiada asas' dan menegaskan mahkamah Kanada tidak mempunyai kuasa membuat keputusan sedemikian.

Plaintif meminta ganti rugi CAN$1.5 bilion (kira-kira RM4.93 bilion).

Tidak dapat dipastikan bagaimana pampasan itu dapat dituntut daripada Iran.

Dalam laporan akhir pada Mac, Pertubuhan Penerbangan Awam Iran (CAO) berkata, sistem pertahanan udaranya berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk serangan balas pada 8 Januari 2020.

Ia selepas Tehran melepaskan peluru berpandu ke pangkalan tentera di Iraq yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat (AS).

Ketika itu, republik Islam itu baru sahaja menyerang pangkalan AS di Iraq sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani, dan menjangkakan tindak balas daripada Washington.

Ukraine mengecam laporan itu sebagai percubaan untuk menyembunyikan punca sebenar tragedi itu, manakala Ottawa berkata laporan itu 'tidak lengkap' dan tidak mempunyai 'bukti kukuh.'

Beberapa negara yang diketuai Kanada memfailkan tindakan terhadap Iran untuk mendapatkan pampasan bagi keluarga mangsa.

Pada Disember 2020, Iran menawarkan untuk membayar AS$150,000 (kira-kira RM630,409) atau jumlah setara dalam Euro kepada setiap keluarga mangsa.

Pengumuman itu dikritik hebat oleh pegawai Ukraine dan Kanada, yang menyifatkan bahawa pampasan berkenaan tidak wajar diselesaikan melalui pendekatan unilateral (secara sepihak).

Disiarkan pada: January 7, 2022 @ 6:55am
d