Eropah

Bayi ditinggal dalam persekitaran -20 darjah Celcius

Oleh Agensi

Novosibirsk: Seorang bayi perempuan dipercayai berusia tiga hari ditemukan selamat selepas ditinggalkan di dalam kotak telur, dengan keadaan persekitaran pada suhu serendah negatif 20 darjah Celsius di Siberia.

BBC melaporkan, bayi yang baru lahir itu ditemukan lima remaja di jalan terpencil berhampiran perkampungan Sosnovka di luar Novosibirsk.

Bayi perempuan itu dikejarkan ke hospital oleh salah seorang ibu bapa remaja itu.

Polis yang mencari ibu kandung bayi itu sudah membuka kertas siasatan jenayah berhubung cubaan membunuh kanak-kanak bawah umur.

Ibu bapa salah seorang remaja yang menemui bayi itu ingin mengambilnya sebagai anak angkat.

Tetapi mereka mesti menunggu untuk melihat sama ada saudara-mara bayi itu dapat ditemui.

Bercakap dengan akhbar Rusia NGS, bapa kepada salah seorang remaja itu, Dmitry Litvinov berkata, lima rakan itu keluar bersiar-siar.

"Ia sudah gelap, mereka menyalakan telefon bimbit mereka, melihat apa yang ada di dalam kotak itu," kata Litvinov.

Bagaimanapun, kumpulan remaja itu terkejut apabila mendapati terdapat seorang bayi perempuan ditinggalkan dengan selimut seperti kain buruk dan botol susu.

Litvinov berkata, anak mereka, Renat kemudian memanggil mereka untuk ke tempat kejadian.

Mereka kemudian membawa bayi itu dengan kereta ke hospital di bandar.

Apabila tiba di sana, seorang doktor segera memeriksa bayi itu.

Dia menghangatkan badan bayi dengan menggosok secara perlahan pada lengan dan kaki, kata kenyataan kementerian kesihatan wilayah.

Bayi itu bertukar menjadi merah jambu dan didapati sihat dan segera dipindahkan ke hospital kanak-kanak.

Disiarkan pada: January 15, 2022 @ 2:56pm
d