Eropah

Wanita separuh bogel di tugu pejuang

Oleh Agensi

Rom: Seorang pelancong wanita dihalau keluar dari Venice selepas tertangkap bergambar separuh bogel di tugu peringatan mangsa perang yang menjadi tumpuan pelancong.

Wanita berusia 30 tahun dari Republik Czech itu dikatakan menanggalkan pakaiannya di kawasan monumen itu dan berenang di lagun berhampiran sebelum berbaring di sebelah tugu pejuang wanita untuk bergambar.

Dia dikenakan larangan berada di Venice selama 48 jam dan didenda $513 (RM2149.47).

Monumen itu terletak di taman Binnale kawasan himpunan tugu didedikasikan untuk pejuang wanita, yang mana separuh binaan tembaganya berada dalam air dan di tebing konkrit.

Penduduk tempatan, Mario Nason dilapor CNN berjalan bersama anak lelakinya ketika melihat wanita itu dan dua rakannya berada di monumen berkenaan pada 21 Januari lalu.

"Hari itu cuaca baik dan kami nampak dua pelancong menangkap gambar. Saya melihat pergerakan pelik di kawasan itu dan ada wanita berenang tanpa kisahkan apa-apa.

"Saya fikir dia mungkin gila kerana berenang dalam cuaca sejuk, tetapi kemudian dia cuba keluar dari laut dan memanjat tugu dengan hanya memakai bikini. Teman lelakinya dan seorang lagi wanita melompat di atas penghadang monumen itu dan menangkap gambarnya. Mereka berdiri di sebelah pakaian wanita berkenaan, buat seperti mereka di pantai," katanya.

Jurucakap kepada polis memberitahu CNN, berdasarkan laporan, wanita itu berbaring di monumen sebagai gambaran pejuang mati untuk gambar kenangan.

Disiarkan pada: January 30, 2022 @ 6:45am
d