Eropah

Rusia terbabit serangan siber terhadap Ukraine - UK

Oleh AFP

London: Kerajaan United Kingdom (Uk) pada Jumaat menuduh perisikan Rusia terbabit dalam serangan siber minggu ini.

Serangan itu menyasarkan laman web negara dan bank Ukraine.

Bagaimanapun, Moscow menafikan bertanggungjawab dalam serangan siber itu.

Kyiv sebelum ini mendakwa serangan itu datang dari Rusia kerana kebimbangan berterusan bahawa Moscow merancang untuk menyerang negaranya.

"Kerajaan hari ini mengaitkan serangan 'distributed denial-of-service' (DDoS) terhadap sektor perbankan Ukraine pada 15 dan 16 Februari lalu membabitkan Direktorat Perisikan Utama Rusia.

"Keputusan untuk mengaitkan insiden ini secara terbuka menggariskan fakta bahawa UK dan sekutunya tidak akan bertolak ansur dengan aktiviti siber yang berniat jahat," kata Kementerian Luar UK dalam satu kenyataan.

Bangunan yang terjejas termasuk bank simpanan negara Oschadbank dan Privat, dua daripada institusi kewangan terbesar negara, serta Kementerian Pertahanan.

Kedua-dua bank bagaimanapun beroperasi semula pada Selasa.

Sementara markas tentera kekal tidak dapat diakses beberapa jam selepas laporan awal serangan itu muncul.

Difahamkan, badan pemantau komunikasi Ukraine menuding jari ke arah Moscow.

"Ia tidak boleh dikecualikan bahawa penceroboh menggunakan helah kotor," kata badan pemerhati siber Ukraine merujuk kepada Rusia.

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 11:12am
d